Elhana dan Zakuan, Bab 1

Salam readers!

Ini adalah projek hujung minggu FH. Tulis novel percintaan remaja. Naskhah ni dah lama FH tulis sejak  sekolah menengah cuma telah diperbaharui mengikut gaya penulisan semasa. Naskhah ini sangat cliche mengenai dua pasang kekasih yang bercinta. Idea datang sekali sekala menerusi mimpi. Ya, memang asalnya FH mula tulis kisah ini bila FH bermimpi mengenai watak utamanya Zakuan. Macam dah tahu dah ending bila tengok tajuk, tapi cinta memang cliche kan? Jangan teruskan pembacaan melainkan anda benar-benar ada masa untuk membaca. Hehe.



Bab 1
            Hatinya berdebar. Sekolah baru tak mungkin lah teruk sangat. Dia cuba menenangkan diri sendiri. Keadaan persekitaran sekolah nampak tenang sewaktu kereta yang dipandu ayahnya memasuki perkarangan sekolah. Mesti semua pelajar dah ada dalam kelas semula selepas waktu rehat tamat. Dia pada mulanya tak mahu pindah sekolah tapi keadaan memaksa. Ikutkan dia hanya mahu habiskan tingkatan 5 di sekolah lamanya. Tapi ibunya lebih memerlukan dia berada di rumah sepanjang dua tahun ini kerana ayahnya akan bertugas di Tokyo jadi dia perlu menemani ibunya.
            Dia mahu menangis sahaja tapi apakan daya. Hidup perlu diteruskan dan apabila dia diperkenalkan kepada rakan sekelasnya dan guru kelas, dia percaya dia mampu untuk bertahan di tempat baru ini tanpa sebarang masalah.
            “Kau budak baru?”
            Berderau darahnya ditegur begitu. Kakinya berhenti melangkah dan mengangkat muka. Ada dua orang pelajar lelaki berjalan disebelahnya. Seorang hanya diam sahaja tapi yang menegurnya tadi masih menunggu jawapan.
            “Ya”. Jawabnya pendek.
            “Macam tu kami kena bawa kau pergi jumpa cikgu”.
            Dia cuba mencari akal. Dia tahu pelajar itu sengaja mahu mengusiknya. Bukan itu kah perkara biasa yang perlu dihadapi pelajar baru. Usikan pelajar lama ataupun senior.
            “No thanks. Semalam lagi saya dah mula masuk kelas saya.” Elhana cuba meneruskan langkahnya. Lagipun waktu rehat hampir tamat. Dia taknak jadi orang terakhir masuk kelas. Baru dua hari di sekolah dah buat hal.
            “Siapa nama kau?” Pelajar pertama tadi masih belum berpuas hati. Rakannya masih diam tanpa berkata apa-apa. Mereka sedang menghalang jalannya kini.
            Matanya memandang tepat ke arah pelajar itu. Geram pula rasa hatinya.
            “Elhana. Kau?”
            Pelajar lelaki itu berderai ketawa. “Kau? Selamba je kau panggil kau. Aku Abang Ilhami. Yang ni, kawan aku kau kena panggil Abang Zakuan” Sambil memegang bahu rakan disebelahnya. Dia tersenyum sedikit.
            “Oh.. Maaf. Saya tak tahu. Sekarang boleh saya balik kelas?” Dia malas melayan. Kepalanya masih serabut dengan perihal sekolah baru ini. Perkara terakhir yang dia perlukan ialah sebarang masalah dengan pelajar lain.
            “Dengan maaf je tak boleh lepas. Kau kena buat sesuatu dulu”. Ilhami masih tidak berganjak nampaknya. Elhana perlu pantas memikirkan jalan keluar.
            “Tapi…saya…. Eh, Cikgu Anwar!” Elhana menunjuk ke arah belakang pelajar lelaki berdua itu. Mereka menoleh. Masing-masing tahu yang waktu rehat dah tamat jadi semua pelajar tidak sepatutnya berada di luar kelas. Sudah kebiasaannya Cikgu Anwar sebagai guru disiplin untuk meronda bagi memastikan tiada siapa yang masih berlegar-legar di kawasan yang tidak sepatutnya.
            Sebaik sahaja dia terlepas pandang daripada pandangan mereka berdua, cepat-cepat Elhana membuka langkah seribu dan berlari pergi meninggalkan mereka. Tak sempat mereka menahannya sebaik sahaja mereka sedari tiada Cikgu Anwar pun di belakang mereka sebenarnya. Harapnya mereka akan melupakan kejadian tadi dan tidak lagi mengacau Elhana. Biarlah dia aman sahaja meneruskan pembelajaran tanpa gangguan. Walaubagaimanapun, sedikit pun dia tidak tahu bahawa kedua pelajar itu, Ilhami dan Zakuan bakal memainkan peranan penting dalam kehidupannya selepas ini.

            Hari Sukan Sekolah. Elhana hanya jadi pemerhati sahaja. Bukan dia tidak aktif ataupun tidak gemar bersukan. Cuma dia memilih begitu kerana sudah puas aktif sebelum ini. Mungkin tingkatan 4 ini ialah tahun berehat daripada sebarang aktiviti kesukanan dan kecergasan. Dia terhibur sendiri melihat keletah pelajar lain yang bersungguh-sungguh cuba memenangi acara masing-masing. Aktiviti kegemarannya ialah lontar cakera dan lari 4 x 400 meter. Dia gemar lari jarak jauh berbanding pecut 100 meter yang memerlukan ketangkasan badan.
            “Tak join ke? Tak minat?”
            Elhana tidak kenal suara yang datang dari belah kanan itu. Dia mengerling untuk mengenalpasti empunya suara.
            “Zakuan kan?”
            Fotografik memori yang dimilki membolehkan dia mengenali lelaki tersebut. Zakuan tersenyum. Baru Elhana perasan betapa manisnya senyuman Zakuan yang berlesung pipit di kedua belah pipi. Walaupun Ilhami lebih segak dari segi keseluruhan rupa paras, Zakuan nampak lebih manis dan sopan. Ditangannya memegang botol air 100 plus.
            “Tak sangka awak ingat saya. Macam mana sekolah baru?”
            Elhana sedikit canggung. Zakuan hendak memulakan perbualan dengannya dan ini bukanlah sesuatu yang dia biasa lakukan dengan mana-mana lelaki. Zakuan mengambil tempat di sebelahnya sambil melemparkan pandangan ke arah padang yang dipenuhi pelajar lain.
            “Awak tak masuk pertandingan ke?” Elhana mengelak menjadikan dirinya topik perbualan.
            Zakuan menggeleng. “Tak boleh. Belum sembuh” Sambil menunjuk ke kakinya yang berbalut di buku lali dan tumit. Elhana diam. Dia tidak tahu hendak respon bagaimana. Adakah itu kekecewaan atau kelegaan yang terlahir daripada mulut Zakuan.
            “Kalau tidak masuk sukan apa?” soal Elhana. Nafas nya rasa tersekat sekarang. Entah keluar atau tidak suaranya bila bertanyakan soalan itu.
            “Lompat kijang.” Zakuan kelihatan selesa duduk di situ berdua dengannya. Lelaki itu bersandar ke ke bangku.
            Perbualan mereka berlarutan beberapa minit. Barulah Elhana tahu sebenarnya Zakuan dan Ilhami ialah pelajar tingkatan 6 atas. Padanlah mereka nampak sedikit matang berbanding pelajar lain. Dari perbualan yang singkat itu juga Elhana mengetahui yang Zakuan anak yatim piatu yang tinggal bersama keluarga Ilhami. Mereka berjiran sejak kecil jadi keluarga Ilhami menjaga Zakuan selepas ibu bapanya meninggal dunia dalam kebakaran rumah mereka beberapa tahun lepas.
            Elhana juga sedar sesuatu bahawa ia tidaklah teruk sangat untuk berbual dengan lelaki. Selama ini dia bersekolah di sekolah all-girl school dan sememangnya situasi begitu amat asing baginya. Boleh dikatakan Zakuan ialah lelaki pertama yang berbual dengannya seperti itu. Persepsi nya terhadap situasi itu telah berubah sama sekali.

            Hari-hari yang mendatang dilalui dengan harapan bahawa dia akan mempunyai peluang sekali lagi untuk terserempak dengan Zakuan walaupun hanya seminit untuk bertanya khabar. Dia tidak tahu bagaimana hendak mencari Zakuan dan cara untuk menghubunginya. Lagipun jika dia hendak telefon Zakuan, sudah tentu lah dia perlu menelefon rumah Ilhami dan itu bukan lah sesuatu yang dia selesa untuk lakukan.
            Ilhami ialah seorang yang kasar dan melulu. Sudah beberapa kali dia ternampak Ilhami membuli pelajar junior dengan bermacam-macam kaedah seksaan. Peribadinya bukanlah sesuatu yang Elhana gemari dan sikapnya yang angkuh buat Elhana cepat-cepat mengelak jika ternampak Ilhami sedang berjalan di kawasan berhampiran.
            Dia tidak faham mengapa manusia sanggup menganiaya manusia lain. Sikap belas kasihan tidak wujud bagi seorang insan yang bernama Ilhami. Walaupun bila disebut namanya kedengaran lembut sekali. Susuk badannya yang tegap buat dia nampak macam gangster. Cukup kontra dengan Zakuan yang penuh senyuman dan tidak bersuara. Sehinggalah pada suatu hari Elhana mengenali sisi Ilhami yang berbeza.
            Petang itu ibu lambat sedikit menjemputnya. Jadi Elhana hanya duduk di surau sekolah yang mempunyai penghawa dingin. Jadi tidaklah panas sangat menunggu ibu yang akan datang pada jam 5 petang. Tiba-tiba sahaja dia mendengar suara yang amat dikenali dan ditakutinya.
            “Meow! Meow! Meh datang sini dekat sikit dengan aku”
            Elhana mengintai di balik tingkap ruang solat perempuan ke kawasan belakang surau. Kelihatan susuk tubuh lelaki sedang menunduk nunduk dan membelai sesuatu. Elhana yakin dan pasti itu adalah Ilhami berdasarkan gaya lipatan lengan bajunya. Tapi dia perlukan pengesahan. Jadi dia membuka sedikit tingkap.
            Jelas sekali. Lelaki itu ialah Ilhami! Dia sedang memberi makan beberapa ekor kucing yang sememangnya berkeliaran di kawasan sekolah. Elhana menahan tawa. Tidak sangka Ilhami seorang pencinta kucing. Ada anak kucing yang mesra dengannya dan memanjat badannya.
            “Eh jangan la panjat. Kuku tajam lah!” jerit kecil Ilhami bila diperlakukan sebegitu. Dia harus mengawal suaranya kerana tidak mahu sesiapa menyedari perbuatannya di situ. Habislah rosak imej pembuli yang diusahakannya selama ini.
            Elhana rasa geli hati melihatkan gelagat Ilhami dengan kucing-kucing itu. Tanpa dia sedari dia telah tertolak sedikit kaca tingkap dan membuatkan sekeping kaca terjatuh dan pecah. Bunyi yang kuat itu membuatkan Ilhami dan kucing-kucing itu terkejut. Baru dia sedar dia diperhatikan. Lekas-lekas dia bingkas bangun untuk mengetahui siapa.
            Tapi bila mengetahui tingkap yang pecah itu ialah dari tingkap kawasan solat perempuan, dia tidak mampu berbuat apa-apa. Takkan lah dia hendak masuk ke kawasan itu walaupun jiwanya berang kerana perbuatannya dilihat orang lain. Walau siapa pun dia. Kini rahsianya telah terbongkar dan dia perlu memastikan orang itu senyap dan tidak buka mulut selama-lamanya.
            Jantungnya berdegup laju. Dia menunduk dan rapat ke dinding agar Ilhami tidak dapat melihatnya. Matilah dia kali ini! Sekali dulu dia berjaya melepaskan diri tapi takkan lah nasib baiknya akan berulang sekali lagi. Dia hanya duduk dan akhirnya tertidur selepas beberapa ketika berada dalam keadaan ketakutan.
            Telefon berbunyi. Ibu nampaknya telah sampai. Elhana terjaga dari lenanya dan mengemaskan barang-barangnya. Dia sudah lupa peristiwa dia menjatuhkan kaca tingkap itu tadi dan segera bergegas ke pagar sekolah. Dia tak mahu Ibu tunggu dia di sana terlalu lama. Selalunya dia akan bersedia 15 minit lebih awal dari waktu yang dijanjikan ibu tapi kali ini dia tertidur jadi dia rasa bersalah.
            “Oh kau rupanya!”
            Berderau darahnya. Ini kali kedua dia berperasaan begitu. Langkahnya terhenti bila mendengar suara garau itu yang datang dari belakang. Elhana tidak mahu menoleh. Dia rasa hendak terkencing di situ juga. Tangannya menggeletar. Ilhami datang berhadapan dengannya.
            “Kau intai aku kan tadi?!”
            “Err.. Tak.. Ya..” Elhana tergagap-gagap. Muka Ilhami bengis sekali. Ayahnya pun tidak pernah kelihatan marah begitu sekali. Cuaknya keadaan ini. Dia tidak dapat merasakan tanah yang sedang dipijaknya.
            “Baik kau diam dan tak kecoh pasal apa yang kau nampak. Kalau tidak aku bagitahu Ustaz Farhan kau yang pecahkan kaca tingkap tu!” Ugut Ilhami.
            Elhana mengangguk kecil. Seluruh badannya menggeletar ketakutan. Selepas berpuas hati dengan respon Elhana, dia berpusing dan meninggalkan Elhana sendirian di situ. Semasa dia berpusing beg nya terkena badan Elhana dan membuatkan dia hampir terjatuh. Yang jatuh ialah buku dan beg yang sedang dipegang Elhana. Mungkin dia sengaja atau pun tidak. Tapi dia tidak berpaling kembali untuk melihat barang-barang Elhana yang bertaburan di atas tanah.
            Kurang ajar! Jerit Elhana di dalam hati.
            Malam itu, Ibu memanggilnya kerana terdapat panggilan telefon buatnya. Kawan sekolah kata ibu. Pelik juga kerana dia tidak mempunyai kawan yang rapat di sekolah itu. Tidak pernah pula dia memberi no telefon kepada sesiapa.
            “Hello?” suara Elhana kehairanan menyambut panggilan telefon itu.
            “Assalamualaikum” suara itu membalas.
            Elhana tersenyum sendirian. Dia kenal benar suara itu dan itulah yang dinantikannya sepanjang beberapa bulan ini. Mendengar sekali lagi suara Zakuan membuatkan segala masalah yang dihadapinya hilang dan hanya ketenangan yang hadir dalam hatinya kini.
            “Awak okey?” Bila Zakuan bertanya begitu hatinya berbunga-bunga. Zakuan tahu ke yang dia baru sahaja bertembung dengan masalah siang tadi?
            “Saya nampak semua yang berlaku. Jadi saya call nak tahu keadaan awak. Teruk awak kena dengan Ilhami tadi” Betapa prihatin nya pemilik suara itu.
            Elhana menerangkan bahawa dia baik sahaja dan Zakuan tidak perlu terlalu risau. Tindakan Zakuan itu amat menyentuh hati Elhana. Rupanya selama ini Zakuan memang menyimpan no telefonnya. Zakuan berkerja sambilan membantu kerani sekolah pada hujung minggu dan dia mengambil kesempatan itu untuk mencari no telefon rumah Elhana dalam fail pelajar sekolah. Tindakan yang salah dan manis dalam masa yang sama.
            “Baiklah selamat malam. Malam ni jangan dapat nightmare pula” pesan Zakuan. Elhana laju menafikan. Mungkin dia akan dapat mimpi indah malam ini. Harapnya. Tapi dia tidak memberitahu apa dalam fikirannya itu. Dia membalas ucapan selamat malam dan meletakkan gagang telefon. Ini adalah perkara terbaik yang berlaku dalam hidupnya sepanjang semester ini. Esok bermula cuti sekolah pertengahan tahun dan dia positif hidupnya akan lebih baik sebaik sahaja sekolah dibuka semula.

 Thanks for reading!

Comments

Popular posts from this blog

Panduan diet selepas pembedahan laparoscopy/laparotomy

Pengalaman Menjalani Pembedahan Laparoscopy

Pengalaman Excess Baggage dengan MAS Airlines