[Ulasan Buku] Mawar Yang Hilang: Pesona Wangi Diana



Mawar Yang Hilang oleh Serdar Ozkan

            Seharum namanya, manusia cukup terpesona dengan keunikan bunga mawar. Mawar telah diberi ratusan interpretasi dalam karya agung seniman sejak zaman Greek lagi. The Golden Ass, misalnya, mengisahkan Lucius yang bertukar menjadi keldai dan memerlukan mawar untuk kembali ke bentuk manusia. Manakala dalam literasi klasik Parsi pula, karya masyhur The Rose Garden dinamakan sebegitu kerana ia merupakan koleksi syair dan cerpen seumpama sebuah taman bunga ros yang mempunyai koleksi pelbagai bunga ros.

            Mengangkat bunga mawar sebagai simbol dan objek dalam sesebuah karya merupakan langkah popular kerana identiti Mawar sebagai simbol kecantikan, kesempurnaan, dan misteri sedia dikenali umum. Obsesi masyarakat kepada mawar juga sesuatu yang klise. Lihatlah saja saban tahun industri flora menjana jutaan keuntungan ketika sambutan Hari Kekasih. Jadi apa lagi kejutannya,  bila Serdar Ozkan, seorang penulis baru melantik Mawar sebagai ‘kad pengenalan’ ke dalam arena penulisan? Mari kita kupas bersama.
http://www.itbm.com.my/images/sized/uploads/books/9789830685670_frontcover-350x497.jpg
Tajuk Buku      : Mawar Yang Hilang (Tajuk asal: The Missing Rose)
Penulis             : Serdar Ozkan
Halaman          : 245 halaman
No Resit          : ITBM02003781 (02/05/2015) 

            Premis Mawar Yang Hilang berpaksikan kepada watak Diana, seorang gadis sosialit di abad ke 21. Diana ibarat dewi kota Rio De Jenairo, yang dikenali kerana kecantikan dan kebijaksanaan. Ironinya, seperti Dewi Diana yang merupakan Dewi Pemburu dalam mitos Rom, Diana tidak berkesudahan memburu sesuatu. Ketidakupayaan dia melawan anggapan orang sekeliling menjadikan dia lemas dalam kemelut menjadi seorang Diana.

Wanita-wanita dalam hidup Diana

Penulis dilihat memberi teguran sinis kepada gadis alaf ini yang tiada batasan demi menjadi sesuatu yang ‘indah dan harum’ di mata manusia lain. Dalam cara yang bersahaja, Diana ialah simbol gadis material yang taksub jenama dan tanda harga lantas kehilangan identiti yang disembunyikan jauh dalam benak fikiran. Ibunya cuba menyelamatkan dia daripada terus lemas tetapi dia menafikan segala bantuan sehinggalah semuanya telah terlewat.

“Satu-satunya perkara yang kamu perlu untuk berasa istimewa ialah diri sendiri…” –Ibu Diana.

Kematian insan tersayang ialah motivasi paling ampuh untuk menggerakkan manusia menyedari kekuasaan Tuhan. Sepertimana Nabi Muhammad berhijrah selepas kehilangan Khadijah dan Abdul Talib dalam tahun yang sama, kematian boleh saja menjadi titik kehancuran ataupun kegemilangan manusia. Diana kini perlu memilih untuk bangkit atau kekal mabuk meratapi pemergian ibunya.

            Novel ini tebal dengan pengajaran menerusi watak yang dimunculkan dalam setiap plot. Rentetan pertelagahan emosi dan bicara Diana dengan watak-watak yang hadir, menggerakkan perjalanan cerita dari satu babak ke babak yang seterusnya. Sepertimana surat-surat Maria yang mempunyai bab, begitu juga pembahagian cerita ini yang menampakkan perkembangan dinamik watak Diana. 

Kemunculan Zeynep Hanim tidak lain tidak bukan sebagai pengganti figura ibu buat Diana. Dalam kehalusan butir bicaranya, Zeynep Hanim meminta Diana membunuh diri demi mempelajari Ilmu Mendengar Mawar. Bunuh diri yang lama agar lahir sebagai seorang yang baru. Agak ekstrem bukan? Tunggu dahulu pada kejutan yang seterusnya. Dalam suasana yang penuh romantis di Kota Istanbul sambil membelek halaman Mawar Yang Hilang, saya tidak sangka bertemu pula dengan sebuah rumus Matematik. 

            Satu dibahagikan dengan Infiniti = Sifar Istimewa.  
             1 / ∞ = 0 

Apakah kemungkinan sesuatu perkara itu bila kita bahagikan dengan sesuatu yang infiniti? Contohnya, cuba pembaca teka apakah lagu yang sedang bermain dalam fikiran saya pada ketika ini? Cubalah menjawab soalan ini dan kalian pasti tertawa kerana pilihan jawapannya terlalu luas sehingga infiniti. Tapi apakah ia bermakna, tiada lagu yang sedang bermain dalam fikiran saya?

Jadi penulis sebenarnya mengajak pembaca menerima bahawa dunia ini tiada batasan seperti juga infiniti. Tiada perkara yang tidak mungkin, juga tiada perkara yang pasti tidak berlaku. Kuasa Tuhan terlalu luas untuk dinafikan kebesarannya dan hanya manusia yang terpilih dapat merasa sentuhan daripada-Nya. Inilah mesej Ketuhanan yang cuba disampaikan Ozkan.

            “Kebesaran Tuhan tidak akan membiarkan ciptaan-Nya terbiar dan terabai…Sebaliknya, kerana kehebatan dan darjat-Nya yang tinggi itulah, Dia melibatkan diri dalam hidup kita yang remeh temeh ini”- Zeynep Hanim.

http://upload.wikimedia.org/wikipedia/commons/2/2a/Diane_de_Versailles_Leochares_2.jpg 
Arca Dewi Diana. Sumber: Internet

Lelaki-lelaki dalam hidup Diana

            Berbanding para wanita yang hidup dalam keadaan mistik dan penuh misteri, watak lelaki pula ditampilkan tanpa sebarang tanda tanya. Sang Pengemis, Mathias Si Pelukis dan Ayah Diana merupakan watak statik dan realistik yang tidak terjejas dengan peredaran perjalanan cerita. Sementara watak wanita lebih pragmatik, lelaki hanyalah pegun dan menjadi penunggu di setiap persimpangan babak. Saya percaya penulis sengaja ingin memberi keseimbangan kepada jiwa kacau Diana apabila dia mempersembahkan Mathias sebagai peneman dalam beberapa babak awal dan kemudian menjadi teman ke Hujan Oktober. 

            Mathias sendiri tidak kurang hebatnya dalam memahami alam mengikut mata seorang pelukis. Saya terpikat dengan bait-bait pepatah yang disebut olehnya: 

            “Selagi masa berjalan, masa depan yang begitu mempesonakan ini hanyalah masa silam yang belum diusik”

            Cuba kita hela nafas dan lepas kembali nafas itu. Adakah nafas yang telah dihembus boleh disedut kembali? Begitu jugalah sifat abadi masa. Ozkan memilih Mathias untuk memperlihatkan hakikat ini kepada Diana pada hari dia benar-benar bersedia mendengarnya. Hari yang jika Mathias terlepas peluang ini, tiada memori akan tercipta antara mereka. Sekalipun Diana ketika itu masih kabur dengan penjelasan terhadap pepatah ini, dia kemudiannya perlahan-lahan menjadi mahir dengan perihal masa dan memori. 

Apapun, usaha menterjemahkan buku ini ke dalam Bahasa Malaysia amatlah murni agar khalayak pembaca Bahasa Malaysia dapat juga menikmati keenakan Mawar Yang Hilang sepertimana pembaca 44 bahasa lain di dunia. Terasa canggung sedikit dengan gaya bahasa yang dipilih kerana ia memberi konteks berbeza kepada pengalaman pembacaan. Walaupun demikian, ia tidak mencacatkan keseluruhan cerita. Pembaca akan terus asyik menyelak halaman untuk mengikuti episod baru dalam pengembaraan Diana menjejaki Maria.
http://www.vortechfirewalls.com/images/1253645557/6899032.jpg 
Kulit Buku dalam Bahasa-bahasa Lain

Perihal Mawar

            Darjat bunga Mawar diangkat lebih tinggi dalam novel ini apabila penulis memberikan nyawa kepada bunga Mawar. Melalui Zeynep Hanim, bunga mawar diberikan suara. Ya, Ozkan cuba mencabar realiti kita dengan menyatakan setiap bunga Mawar mempunyai karakter dan pemikiran tersendiri. Bahkan, agak berlebihan bila bunga Mawar juga diberikan perasaan dan memori.

            Ozkan ibarat seorang Tukang Kebun dengan variasi bunga Mawar yang sangat istimewa. Bunga Mawar Kuning, Artemis, Miriam, dan Socrates ialah antara koleksi Ozkan yang paling menonjol. Kepetahan setiap bunga bercerita dan berdebat membuatkan pembaca hampir tidak sedar bahawa bunga itu hanyalah tumbuhan yang secara fizikal tiada sebarang organ khas untuk mengeluarkan suara.

            Jujur daripada sanubari, sehingga ke halaman akhir saya masih tertanya-tanya siapa atau apakah Mawar yang dimaksudkan hilang oleh Ozkan? Oleh itu, saya akan cuba membentangkan teori mengenai identiti Mawar berdasarkan hujah dan bukti yang dinyatakan seperti berikut;

i) Mawar ialah Maria
Bermula daripada awal cerita, Maria diberitakan hilang membawa diri. Jadi, Diana terpaksa menggalas tugasan yang diamanahkan oleh ibunya untuk menjejaki Maria sehingga ke Istanbul. Maria kekal hilang dan mengugut akan melakukan sesuatu yang lebih teruk jika dia tidak dapat bertemu ibu mereka. Oleh itu, Mawar yang Hilang ialah Maria yang Hilang.

ii) Mawar ialah Jiwa Diana
Kisah Zuhrah dan Bunga Mawar Kuning terasa begitu dekat di hati Diana kerana dia ibarat Zuhrah yang kalah kepada kehendak Yang Lain-Lain. Begitu juga kisah Artemis dengan Miriam bila Artemis, bunga Mawar yang ditanam di Kuil Artemis begitu gemar dengan puji-pujian manusia. Sama sahaja dengan diri Diana pada awal cerita yang hidup dengan pujian tanpa dia sedari jiwanya hilang direnggut oleh keadaan penuh hipokrit itu. Perjalanan Diana juga memperlihatkan kebangkitan jiwa Diana yang bangkit kembali selepas kematian ibunya. Jelas sekali berdasarkan bukti ini, Mawar yang Hilang ialah Jiwa Diana yang Hilang.

iii) Mawar yang Hilang ialah Mawar
Penulis beberapa kali menceritakan kisah bunga Mawar yang hilang keharuman asli menerusi kisah Zuhrah dan Artemis. Walaupun kelihatan seperti ia metafora kepada kehidupan manusia yang dambakan ‘cop kelulusan’ daripada manusia lain, kisah itu sendiri boleh sahaja berdiri sendiri sebagai sebuah kisah berasingan tanpa sebarang makna. Pembaca sendiri yang memilih untuk merumuskan tauladan yang didapati dalam kisah yang dibaca, walhal ia boleh saja jadi satu kisah tanpa makna. Oleh itu, berdasarkan hujah ini, Mawar yang Hilang ialah Mawar yang telah hilang keharuman.   

            Saya jemput anda untuk merungkai misteri ini. Carilah jawapan kepada persoalan identiti Mawar dengan membaca dan buatlah kesimpulan sendiri. Pengalaman pembacaan Mawar Yang Hilang dipenuhi dengan rasa yang aneh aneh. Tiada perkataan khas yang dapat saya gambarkan bila membaca ‘syair’ yang dikarang Serdar Ozkan ini kerana terlalu banyak lapisan dan sudut yang boleh dibicarakan. Seperti apabila saya minum secangkir kopi Turki, anda tidak akan dapat merasai rasa yang saya alami melainkan anda cuba, dan minum sendiri. 

Wallahua’lam.


           
Rujukan:
http://www.turkishculturalfoundation.org
http://www.serdarozkan.com

Comments

Popular posts from this blog

Pengalaman Menjalani Pembedahan Laparoscopy

Panduan diet selepas pembedahan laparoscopy/laparotomy

Pengalaman Excess Baggage dengan MAS Airlines