Coretan Gadis Bujang

Seorang sahabat bertanya, kenapa rasa sedih bila diri masih bujang. Walhal, dugaan orang berkahwin itu juga banyak, tidak semestinya sentiasa bahagia.

Saya cuba selidik apakah perasaan itu adalah sedih. Atau ia bukan sedih, cuma sejenis kesepian.
Sepi bukan kerana tiada kawan, kerana kawan itu ramai. Mahu buat aktiviti apa-apa, roger sahaja, pasti ada yang menyahut.

Sepi itu, timbul apabila kita mulai tiada persamaan dengan orang sekeliling.

Apabila orang bicara tentang anak..., kita hilang bicara.
Apabila orang bicara tentang suami, kita senyap kelu.
Apabila orang bicara tentang balik raya rumah mentua, kita tersipu.


Di kenduri kahwin, di upacara gathering, di jamuan jabatan, di media sosial, kita jadi tidak tahu bagaimana hendak berbual dan berbicara dengan orang sebelah.


Manusia adalah makhluk sosial. Terjalin atas satu dasar manusiawi dan akan lebih harmoni dengan adanya persamaan.


Lama kelamaan persamaan saya dengan orang sekeliling semakin kabur. Yang muda daripada saya mulai mempunyai persamaan dengan yang tua daripada saya. Saya di tengah-tengah hanya diam dan mulai mencapai telefon. 


Hanya dua soalan yang saya selalu terima, sekarang kerja di mana dan bagaimana dengan kerja.
Oh ya, kadangkala juga ditanya mahu berjalan ke mana.


Setelah saya menjawab dan gigih mahu rancak bercerita, pertanyaan mereka dialih pula kepada yang punyai persamaan dan lebih rancak riak ceritanya. Berbanding dengan perbualan dengan saya yang lebih berbunyi sehala.


Atas dasar itu, timbul rasa sepi. Lantas kadangkala berasa sedih. Selagi mana saya masih bujang, selagi itu saya perlu membina persahabatan baru. Kerana setelah kawan-kawan berkahwin, saya perlu mencari sahabat yang masih bujang. Yang masih ada persamaan dengan saya. Seolah-olah kitaran itu tidak terhenti.


Jadi, adakah perlu saya sedih? Atau wanita berkahwin masih rasa saya tidak patut sedih kerana saya masih boleh berjalan bebas tanpa terikat dengan komitmen?


Saya fikir, setiap perkara itu, hendaklah diteliti daripada semua perspektif. Kemudian kita pilih lah sudut yang mana kita selesa mahu pandang.


FH
Coretan saat hujan lebat.

Comments

  1. Hi and Assalamualaikum Farah! Nice to meet u here!. Saya Huda. Sy ada beberapa soalan nk tnya Farah. How can i contact you? Waiting for your response. Btw, here is my email nabilahhalim2223@gmail.com

    ReplyDelete

Post a Comment

Anything wandering in your mind? Feel free to write...

Popular posts from this blog

Pengalaman Menjalani Pembedahan Laparoscopy

Panduan diet selepas pembedahan laparoscopy/laparotomy

Pengalaman Excess Baggage dengan MAS Airlines