Nurani Tanah Melayu: Simfoni Jiwa Tanah Melayu
Nurani
Tanah Melayu: Simfoni Jiwa Tanah Melayu
Alfred
Russel Wallace (A.R Wallace), seorang ahli sains British, semasa membentangkan
hasil kajiannya setelah berkelana selama 8 tahun di gugusan Kepulauan Melayu
telah menyebut beberapa ciri-ciri orang Melayu dalam syarahannya di hadapan
ahli Literary and Philosophical Society,
di Newcastle pada tahun 1867.
Ciri-ciri
fizikal orang Melayu dinyatakan berkulit sawo matang, bertubuh kecil dan tegap,
berkulit licin tidak berbulu, dan rata alis keningnya. Pakaiannya berkain hanya
sekeping kain sarung baik lelaki dan juga perempuan, semuanya tidak beralas
kaki. Makanan ruji orang Melayu ialah nasi. Bersenjatakan parang dan juga keris
apabila berhadapan dengan ancaman.
Perwatakan
orang Melayu digambarkan sebagai orang yang tidak gemar mempamerkan perasaan. Perasaan
yang dipendam kadangkala boleh meletuskan kejadian amuk apabila keadaan
mendesak. Begitu berkias dalam tutur
kata namun gemar berbicara tentang kisah semangat hutan dan jin. Begitulah
wacana seorang Inggeris yang cuba menyelami kehidupan penduduk asal tanah
bertuah ini.
Apabila
kita amati pembentangan A.R Wells dan kemudian menyelak halaman demi halaman
dalam Nurani Tanah Melayu, kita mendapati nada serupa tentang orang Melayu
dalam nukilan Henri Fauconnier yang juga telah menghabiskan masa bertahun-tahun
di Semenanjung Tanah Melayu dan hidup bergelumang bersama masyarakat yang ada
di sini walaupun kira-kira 50 tahun selepas tempoh kajian A.R Wells berakhir.
Muka Hadapan Edisi Terjemahan 2014 |
Judul
Buku : Nurani Tanah Melayu (Nama asal
dalam Bahasa Perancis: Malaisie)
Penulis : Henri Fauconnier
Penterjemah : Muhammad Haji Salleh
No.
ISBN : 978-967-0892-16-0
Harga : RM40.00 (Sem.
Malaysia)/RM45.00(Sabah/Sarawak)
Sewaktu
mata pertama kali tertancap kepada novel ini, hati rasa terusik dengan pilihan
judulnya. Nurani itu ialah sesuatu yang murni, rapuh dan mudah berkecai jika
tidak kena cara mengendalikannya. Seperti rapuhnya daun getah yang kering berwarna
coklat setelah beberapa hari gugur daripada pokok. Ketiadaan air membuatkan
daun getah bertukar warna mewakili kepentingan air sebagai nadi kehidupan dan
pengangkutan bagi penduduk Tanah Melayu pada tahun 1910-an.
Pilihan
penerbit meletakkan daun getah yang kering di muka hadapan, kiranya merupakan
keputusan yang mendalam dan istimewa. Urat daun getah yang halus menggambarkan
sifat orang Melayu yang halus dan sopan budi bicara. Warna coklat daun sengaja
dijadikan lut cahaya sehingga masih kelihatan latar yang putih dibelakang
seperti memberi bayangan bahawa novel ini merupakan karya yang telus dan jujur
dalam menceritakan perihal orang Tanah Melayu walaupun dikarang dengan penuh
penghormatan terhadap watak-watak yang dikisahkan.
Pokok
getah begitu erat dengan tanah Melayu dalam menyumbang kepada bidang ekonomi
dan sistem penduduk yang berbilang kaum akibat keperluan memenuhi lowongan
pekerjaan di estet-estet getah. Penulis sendiri merupakan seorang pengurus
ladang getah yang terlatih dan menerapkan banyak kisah-kisah ladang getah dalam
novel ini. Jelas sekali dipaparkan pada awal tahun 1900-an, pekerjaan di Tanah
Melayu adalah berlandaskan sistem perkauman. Hanya kaum dan etnik tertentu
memegang sesuatu pekerjaan.
Hidangan pembuka selera kisah ini dimulakan dengan Bab Pengenalan yang menetapkan perasaan pembaca. Perjalanan di sebalik tabir pembikinan karya terjemahan ini diceritakan agar pembaca dapat mengikuti kembara penterjemah. Ini suatu yang jarang dimasukkan dalam karya terjemahan Institut Terjemahan & Buku Malaysia. Bermula daripada bab pertama sehinggalah hidangan penutup, satu bonus di bab terakhir, ternyata pengembaraan ini umpama sebuah melayari kapal masa yang mengujakan.
Watak
utama, Lascale dilihat begitu sukar untuk menyesuaikan diri dengan penduduk di
Tanah Melayu ini sehinggalah menjurus kepada perdebatan yang tidak berkesudahan
antara dirinya dengan Rolain. Kadangkala terasa seperti meleret dan kebijaksanaan Lascale sengaja dihadkan demi membenarkan Rolain merungkaikan persoalan. Konsep waktu tidak terpakai bagi Rolain yang
sebenarnya telah lama mati jiwanya. Kehidupan bukanlah sesuatu yang dia
endahkan dan ladangnya diserahkan kepada Lascale untuk diuruskan setelah
ditadbir secara diktator oleh Stark, pengurus terdahulu.
Dunia
Tanah Melayu digambarkan sebagai dunia yang eksotik dan romantik. Pembaca
terasa seperti membelek lembaran promosi pelancongan yang mempromosikan
keindahan dunia di sebelah timur. Namun, ia bukanlah secara literal menjadi
iklan kepada dunia Eropah. Ini adalah naskhah yang cuba mengetengahkan makna
kehidupan sebenar. Mencabar pemahaman kita bahawa dunia ini tidak hanya ada
hitam dan putih.
Simfoni
Bahasa
Fauconnier
seperti cuba mengetengahkan teori Whorfianism apabila mendedahkan keupayaan
Lascale terbatas untuk memahami atma Tanah Melayu ketika dia masih belum fasih
berbahasa Melayu. Sedangkan Rolain yang begitu fasih dengan beberapa bahasa
penduduk Tanah Melayu sangat arif dengan semua yang terjadi disekelilingnya.
Lama kelamaan, setelah perbendaharaan kata dalam Bahasa Melayu semakin dikuasai
Lascale, dia mula memahami tindak tanduk orang Melayu. Mungkin benar, kisah ini telah mengesahkan
teori Whorfianism bahawa bahasa memang boleh mempengaruhi cara manusia
berfikir.
Rolain
terutamanya, sudah seperti orang Melayu yang gemar membaca naskhah Bustan al-Salatin.
Sebab itulah Rolain mahir dalam seni pantun yang selalu didendangkan Ngah dan
Smail, orang Melayu yang menjadi pekerja mereka. Rolain bukan sahaja menjadi
lebih sensitif dengan persekitaran, malahan sebati dengan nurani Melayu apabila
meluat dengan sentimen La Roque yang tidak dapat membezakan cinta dan nafsu. Dengan
lantang dia seakan sengaja menempelak Lascale yang melampiaskan nafsunya sesuka
hati tanpa sebarang cinta yang terbit antara dia dan Palaniai.
Perihal
bahasa Melayu, sebaliknya, memang suatu yang mencabar buat Lascale. Bahkan dia
lebih selesa menterjemahkan bahasa alam. Lebih memahami perilaku alam yang
kadangkala kelam, letih, bersinar dan menawarkan kebahagiaan buat Lascale
apabila jiwanya serabut. Tidak pernah sekalipun disebutkan dalam novel ini
tentang Lascale membenci alam. Digambarkan Lascale lebih selesa menyendiri
bersama gemersik angin yang melalui dedaunan dan ranting pohon. Hinggakan tidak
selesa jika ada manusia lain berkongsi ruang dengannya dan mengganggu
komunikasi langsung antara dirinya dengan hutan.
Simfoni
Budaya dan Agama
Kita
tidak perlu hidup dalam tahun 1920-an untuk memahami budaya masyarakat di
Selangor hampir 100 tahun yang lampau. Karya ini mampu membawa kita ke zaman
itu menerusi perincian yang dipaparkan secara terperinci mengenai situasi dan
perilaku watak-wataknya. Pendekatan yang digunakan dalam mengupas kepercayaan
dewa-dewa dan semangat hutan tidak sedikit pun merendahkan martabat penduduk
yang dilihat tidak bertamadun oleh kebanyakan orang Eropah pada masa itu.
Aneh
juga apabila kepercayaan orang Melayu yang sedia beragama Islam ketika itu
rupa-rupanya masih tebal dengan kepercayaan kepada kuasa makhluk lain. Mentera
dan jampi dibaca bersulam dengan ayat-ayat pujian kepada Ilahi. Sebutan nama
Tuhan juga menjadi sebutan biasa bagi orang-orang Eropah yang menandakan
asimilasi mereka dengan masyarakat setempat.
Pesta
yang menjadi sebagai medan hiburan bagi orang Tanah Melayu ketika itu, tidak
lain tidak bukan adalah deklamasi puisi yang sedia menjadi butir bicara harian
masyarakat. Pergerakan langkah joget lambak jauh berbeza dengan pergerakan
tarian di pesta tarian Eropah. Ada satu yang sama, tetap minuman beralkohol di
hidang bagi pembesar dan dif jemputan.
Begitu
tajam sekali pemerhatian Fauconnier tentang budaya masyarakat setempat. Terasa
sedikit canggung apabila mempelajari budaya sendiri menerusi kacamata seorang
lelaki Perancis. Ia membuka mata bahawa orang Melayu ini sangat berseni dalam
pelbagai aspek kehidupan. Kebanyakan masa, pemahaman Fauconnier diterjemahkan
menerusi kata-kata Rolain kepada Lascale. Rolain umpama diri Fauconnier yang
telah matang dengan selok belok Tanah Melayu. Sementara Lascale pula mungkin
sebahagian daripada diri Fauconnier sewaktu kali pertama menjejakkan diri di
sini; Naif dan berfikiran sempit.
Cuma hanya satu watak kaum Cina yang ditonjolkan dalam karya ini iaitu Ha Hek, pembantu Stark yang menyambung khidmat sebagai pembantu Lascale. Agak tertanya-tanya juga, ketiadaan watak peniaga kaum Cina yang biasanya memonopoli bidang ekonomi. Mungkin disebabkan lokasi Kuala Paya (Kuala Selangor) yang menjadi latar belakang kisah ini pada masa itu bukan kawasan tumpuan kaum Cina yang kebanyakannya bekerja di lombong bijih timah.
Simfoni
Cinta
Lascale yang menjalinkan hubungan
sulit dengan isteri pekerjanya sendiri, dibentangkan perihal cinta yang sukar
dia fahami. Sebagai seorang pemuda Eropah, baginya cinta berkait rapat dengan
material. Sedangkan, pemahaman bangsa Tamil terhadap cinta adalah kerelaan dan
penyerahan. Karappan dengan rela hati menyerahkan isteri tercinta sebagai persembahan
tolak bala demi memastikan kelangsungan hidup di ladang getah.
Seni bercinta orang Melayu juga
diketengahkan menerusi gerak isyarat dan simbolik selendang yang sengaja
dijatuhkan apabila gadis menemui jejaka idaman. Perasaan cinta dizahirkan
menerusi bait pantun yang dipersembahkan di hadapan dara pilihan Smail walaupun
baru pertama kali bertemu mata.
Terdengar air di jantung kelapa,
Durian
kuning menyimpan rahsia,
Aku
tahu kurinduimu sentiasa,
Mengapakah
kau rindukan bibirku pula?
Simfoni
Maruah dan Amuk
Betapa
besarnya nilai maruah orang Melayu apabila sekecil-kecil kejadian membuatkan
maruah Smail terjentik. Lascale gagal memahami simbolik tepak sirih yang
sengaja dijatuhkan sebagai petanda hubungan Smail dan anak Raja Long tidak
direstui. Dia menyedari kejadian itu tetapi tetap cuba menafikan makna
disebalik tindakan Raja Long itu walaupun cuba diperjelaskan oleh Ngah. Berbeza
dengan Rolain yang bersikap terbuka dalam soal ini dan memberi peluang kepada
Ngah untuk meneruskan cerita.
Lantas,
Smail yang digambarkan sejak awal sebagai simbol orang Melayu yang tenang dan
berjiwa penyair, bertukar menjadi seorang perahsia dan pendendam sehingga
bertindak ganas kepada Raja Long. Betapa jiwa Melayu ini diberi larangan bahawa
jangan sesekali diusik, pantang dijentik, kelak padah mungkin menanti.
Disebalik kelembutan yang dipamerkan, ada sejalur ketegasan dan maruah yang
akan dipertahankan apabila dipijak-pijak.
Edisi Pertama Tahun 1930 |
Harus
dinyatakan, karya ini ke Bahasa Melayu telah disempurnakan dengan baik sekali
oleh SN Muhammad Haji Salleh. Tidak dapat dibayangkan bagaimana jika naskhah yang
memenangi Hadiah Prix Goncourt pada tahun 1930 ini dikendalikan oleh
penterjemah lain. SN Muhammad Haji Salleh telah memberikan hadiah yang cukup
bermakna sempena hari ulang tahun kelahiran ke-80 Rolan Fauconnier, anak lelaki
Henri Fauconnier pada tahun 2014.
Sepanjang
pembacaan disadur dengan keindahan Bahasa Melayu yang kaya dengan kepelbagaian
kosa kata dan membuatkan pembaca tidak berasa jemu. Dengan hanya 182 halaman,
novel ini tidak terasa berat dan mudah dibawa dalam bagasi bersaiz sederhana
mahupun diselit bersama bahan bacaan yang lain. Saiz tulisannya menambah
keselesaan bagi pembaca. Sayang sekali terdapat satu kesalahan ejaan di halaman
47 apabila perkataan Bukit dieja menjadi Bukti. Walaupun ia hanya kesalahan kecil namun
sedikit sebanyak menjejaskan mutu penerbitan naskhah terjemahan Bahasa Melayu
karya hebat ini.
Bacalah
naskhah ini seandainya anda anak Tanah Melayu yang masih terkapai-kapai
memahami esen jiwa Tanah Melayu. Jika kita sukar memahami realiti perpecahan
yang terjadi pada tahun 2018 ini, kembali lah ke Tanah Malaya pada tahun 1920
dan gali semula akar keharmonian yang membentuk Malaysia pada hari ini. Sesungguhnya,
bumi ini bumi bertuah. Jangan lah kita lupa daratan dan memandang enteng
kehebatan budaya bangsa sendiri. Seruan intelektualisme ini telah lama menjadi
doktrin yang cuba ditanamkan oleh penulis sejak 90 tahun lalu.
Padang perahu di lautan,
Padang hati di fikiran.
Henri
Fauconnier, 1930
Comments
Post a Comment
Anything wandering in your mind? Feel free to write...