Rumus Di Hatinya: Romantika Hakase
Tajuk
Buku : Rumus Di Hatinya
Penulis : Yoko Ogawa
Penterjemah : Normalis Amzah
Halaman : 210 muka surat
No.
Resit :
RN000080868 (Melalui pembelian secara dalam talian)
Melewati karya seperti ‘A
Beautiful Mind’ dan Rumus Di Hatinya, juga beberapa drama bersiri seperti
‘Numb3rs’ dan ‘Touch’, nombor bukanlah suatu topik yang mudah untuk dikupas. Pembaca mudah
ketinggalan sekiranya perhatian lebih tidak diberi kepada setiap rumus yang
dibentangkan penulis. Ia berdiri di atas satu garis nipis; samada menjadi
sebuah karya yang mengkagumkan, ataupun hanya sebuah karya syok sendiri kerana
mesej yang hendak disampaikan tidak berjaya difahami khalayak.
Kata kuncinya apabila kita
membaca karya sebegini ialah cabaran. Cabaran bermula jauh sebelum penulis
merancang kerangka jalan cerita, seterusnya sewaktu beliau mulai menterjemah
rumus yang telah dipilih, dan seterusnya untuk meyakinkan pembaca bahawa
penyelesaian rumus itu benar-benar relevan. Cabaran tidak berakhir di situ.
Sebaik sahaja pembaca menyelak halaman pertama, cabaran beralih kepada pembaca untuk
mengaktifkan sel otak bagi memahami segala jalan kerja yang dibentangkan penulis.
Rumus Di Hatinya menyelami kisah
seorang profesor matematik yang mempunyai masalah kerosakan otak akibat
kemalangan. Ingatannya bagaikan pita rakaman yang hanya merakam memori selama
80 minit dan akan merakam semula di atas pita rakaman yang sama apabila genap
tempoh itu. Oleh itu bukanlah suatu perkara yang mudah apabila suatu hari
seorang wanita muda ditugaskan menjadi pembantu di rumah kecil yang didiami
profesor.
Hubungan tegang antara profesor
dan pembantu rumah menjadi dinamik dengan kehadiran ‘Root’, anak pembantu rumah
yang berusia 10 tahun. Di sinilah plot cerita berkembang menjadi lebih menarik. Lazimnya profesor lebih selesa dengan nombor berbanding manusia. Ini berbeza sama sekali apabila kehadiran 'Root' dilihat begitu disenangi profesor. Sifat dingin, cuai, dan memencilkan diri profesor berubah 360 darjah sebaik sahaja mendengar suara ‘Root’ pulang dari
sekolah.
Tajuk
asal novel ini dalam Bahasa Jepun ialah Hakase No Aishita Sushiki dengan
terjemahan secara langsung ke dalam Bahasa Inggeris iaitu “The Professor's Beloved Equation”. Ia berformat seperti sebuah memoir
yang terlekat dalam ingatan si pembantu rumah. Agak menghiburkan apabila pembantu rumah saban hari bakal
dihujani dengan soalan yang sama apabila profesor tidak melihat dia melebihi
80 minit sehinggalah dia berpuas hati dengan jawapan yang diberikan.
“Berapa
saiz kasut kamu?”
“Apa
nombor telefon kamu?”
“Berapa
berat kamu ketika dilahirkan?”
Pernahkah terlintas di kepala, saiz kasut adalah
sesuatu yang unik dan ada sebab tersendiri apabila kita memiliki saiz kasut
tersebut? Soalan profesor kepada pembantu rumah buat saya tertanya-tanya sendirian. Saiz kasut saya adalah 6 dan ia adalah nombor sempurna kerana jumlah
pembahagi bagi 6, ialah 6.
6 = 1 + 2 + 3.
Ini sangat menarik.
Ini sangat menarik.
Saya sendiri baru sahaja
menyedari kesempurnaan nombor 6 apabila diperkenalkan dengan keindahan nombor
menerusi kacamata Profesor Hakase. Bagi beliau, nombor dan rumus umpama huruf
dan tatabahasa dalam Bahasa Matematik. Rosak penggunaan rumus, rosaklah bahasa
itu yang telah sedia wujud sebelum kejadian manusia lagi. Oleh itu beliau amat sopan
menghargai keberadaan setiap nombor dan seringkali cuba menyelesaikan
masalah matematik yang dibentangkan dihadapannya.
Watak utama dalam novel ini ialah
Profesor Hakase dan kita hanya berkesempatan mengenali beliau menerusi sudut
pandang dan rasa hati pembantu rumah yang bertindak sebagai narator keseluruhan
cerita. Pembentukan watak Profesor Hakase adalah berdasarkan watak sebenar
iaitu Paul Erdos, seorang pakar matematik ulung dari Hungary. Sebagaimana Paul
Erdos, profesor sangat mahir melontarkan nombor sehingga 3 digit dan
menganggap itu umpama irama yang terlahir dari lagu di hati.
“1 – 1 = 0. Indah bukan?” –
Profesor Hakase.
Pembantu rumah memandang kebolehan
profesor sebagai sesuatu yang luar biasa. Dia kagum dengan keperibadian
profesor yang tidak mementingkan kebendaan. Bagi saya, orang yang patut diraikan
di sini ialah pembantu rumah kerana sikap survival yang ditunjukkan. Dia tidak pernah
berhenti berharap, malahan, otaknya tidak pernah berhenti mencari cara untuk memulihkan
penyakit profesor. Sikap tabah pembantu rumah semasa membesarkan anaknya juga wajar diberi pujian.
Keghairahan
pembantu rumah kadangkala diimbangkan dengan ‘Root’ si kecil yang matang lebih
dari usianya. Walaupun pembantu rumah berasa kasihan melihat profesor
kesepian, jauh di sudut hatinya pembantu rumah juga terasa sepi. Sambil dia cuba
menjadi kawan terbaik kepada profesor, dia juga sebenarnya sedang mencari
sahabat. Tindakannya memakan diri kerana dia melampaui batas antara majikan dan pekerja.
Novel ini menganjurkan idea
bahawa Sains dan Matematik itu adalah simbol kekuasaan Tuhan. Kemampuan manusia
adalah terbatas dan Tuhan Maha Tahu mengapa sesuatu ilmu belum ditemui. Adalah
mengejutkan apabila tema ketuhanan diterapkan dalam karya Jepun. Kajian pada
2001 mendapati 65% dari masyarakat Jepun tidak mempercayai Tuhan. Bahkan hampir
80% orang yang mengambil bahagian dalam pelbagai kajian yang lain seringkali memilih
untuk tidak mengaitkan diri mereka kepada mana-mana agama. Ini buat saya
terfikir bahawa novel ini adalah suatu bentuk dakwah yang cuba disampaikan oleh
penulis.
Sejujurnya, terasa seperti perkembangan setiap watak seakan-akan pegun. Jalinan plot yang berbolak-balik
antara imbasan babak lalu dan babak kini tidak memberi ruang secukupnya untuk
watak berkembang dengan baik, ini kerana watak telah diadun sempurna menjadi
diri mereka sejak awal cerita. Ini mengehadkan evolusi watak walaupun berlaku
pertambahan pengalaman dan usia. Oleh itu kadangkala terasa bagai kekurangan
sesuatu yang menambahkan perisa kepada novel ini.
Rasa
itu diimbangkan dengan beberapa rumus Matematik yang juga turut diwarnakan
dengan karakter. Antaranya nombor ratu, nombor sempurna, nombor karib, nombor lebih,
nombor kurang, dan banyak lagi rumus lain yang mampu buat hati ini terusik. Boleh
juga disiapkan kalkulator di sebelah untuk menguji kesahihan rumus yang
dipaparkan. Setakat ini, saya hanya mampu memahami 60% dari konsep matematik
dan penyelesaian sahaja. Nampaknya saya perlu
mengulang bacaan untuk kefahaman yang lebih jelas.
Identiti Euler
Ayuh kita renung
bersama Identiti Euler atau kadangkala dikenali dengan Rumus Euler yang cukup
dekat di hati Profesor Hakase. Sedikit info mengenai Identiti Euler, ia
merupakan rumus yang diperkenalkan Leonhard Euler pada abad ke-18. Rumus ini indah sekali bagi para pakar matematik kerana dalam satu rumus sahaja, Euler berjaya menggabungkan 3 operasi
asas Aritmatik iaitu penambahan, penggandaan dan nombor
indeks dengan 5 pekali tetap Matematik iaitu 0, 1, л , e, dan i.
Lantas, ia dinobatkan sebagai Rumus Terbaik Dalam Matematik.
Identiti Euler seolah-olah sebuah
metafora kitaran kehidupan Manusia (M) yang lengkap. Bermula dari kelahiran, kita
menempuhi satu persatu Kejadian (K) . Kejadian di sini dianggap seperti operasi
asas; usia bertambah, rakan dan ahli keluarga
berganda, dan sudahnya kita akhir sekali akan menjadi jasad yang Kosong (0) tanpa nyawa setelah
meninggal dunia. Hidup ini akan diiringi dengan Pengalaman (P) iaitu pekali tetap yang
pasti akan berlaku; kegagalan dalam percintaan , akademik, pengkhianatan, pengembaraan, penjelajahan, kejayaan, kerjaya dan
kebahagiaan dalam mengecapi cinta Ilahi.
MP + K = 0
M= Manusia, P = Pengalaman, K= Kejadian, 0 = Kosong/Kematian
Novel Rumus Di Hatinya sesuai dijadikan bacaan santai di waktu lapang. Satu perkara
yang amat disenangi apabila membaca novel ini, ialah perincian yang dihidangkan oleh Yoko Ogawa. Kredit harus diberi kepada penterjemah kerana berjaya mengekalkan ciri-ciri unik ini. Sambil melayari helaian mukasurat, kita mudah membayangkan
visual si pembantu rumah muda tentang situasi yang sedang berlaku. Ini
menimbulkan keselesaan dan kesenangan bagi meneruskan pembacaan seolah-olah berada
di tepi pantai sambil minum air kelapa dingin. Air kelapa yang penuh khasiat dan kebaikan tetapi juga sungguh enak dinikmati tekak yang dahaga. Ibarat air kelapa, novel ini tuntas dan penuh isi.
“Hukum matematik ini sungguh indah kerana tiada sebarang kepentingan dalam kehidupan seharian kita”- Profesor Hakase.
Wallahua'lam.
love the review! =) i'm thinking of getting the book thanks to you, haha.
ReplyDeleteYe ke Sis Nani???
DeleteHuhuhu... (fandom wants to faint coz my idol read my review)
Thank You.. Enjoy your reading ya....!!