Rumus Di Hatinya: Romantika Hakase

Tajuk Buku      : Rumus Di Hatinya
Penulis             : Yoko Ogawa
Penterjemah   : Normalis Amzah
Halaman          : 210 muka surat
No.  Resit         : RN000080868 (Melalui pembelian secara dalam talian)


Melewati karya seperti ‘A Beautiful Mind’ dan Rumus Di Hatinya, juga beberapa drama bersiri seperti ‘Numb3rs’ dan ‘Touch’, nombor bukanlah suatu topik  yang mudah untuk dikupas. Pembaca mudah ketinggalan sekiranya perhatian lebih tidak diberi kepada setiap rumus yang dibentangkan penulis. Ia berdiri di atas satu garis nipis; samada menjadi sebuah karya yang mengkagumkan, ataupun hanya sebuah karya syok sendiri kerana mesej yang hendak disampaikan tidak berjaya difahami khalayak.

Kata kuncinya apabila kita membaca karya sebegini ialah cabaran. Cabaran bermula jauh sebelum penulis merancang kerangka jalan cerita, seterusnya sewaktu beliau mulai menterjemah rumus yang telah dipilih, dan seterusnya untuk meyakinkan pembaca bahawa penyelesaian rumus itu benar-benar relevan. Cabaran tidak berakhir di situ. Sebaik sahaja pembaca menyelak halaman pertama, cabaran beralih kepada pembaca untuk mengaktifkan sel otak bagi memahami segala jalan kerja yang dibentangkan penulis.

Rumus Di Hatinya menyelami kisah seorang profesor matematik yang mempunyai masalah kerosakan otak akibat kemalangan. Ingatannya bagaikan pita rakaman yang hanya merakam memori selama 80 minit dan akan merakam semula di atas pita rakaman yang sama apabila genap tempoh itu. Oleh itu bukanlah suatu perkara yang mudah apabila suatu hari seorang wanita muda ditugaskan menjadi pembantu di rumah kecil yang didiami profesor.

Hubungan tegang antara profesor dan pembantu rumah menjadi dinamik dengan kehadiran ‘Root’, anak pembantu rumah yang berusia 10 tahun. Di sinilah plot cerita berkembang menjadi lebih menarik. Lazimnya profesor lebih selesa dengan nombor berbanding manusia. Ini berbeza sama sekali apabila kehadiran 'Root' dilihat begitu disenangi profesor. Sifat dingin, cuai, dan memencilkan diri profesor berubah 360 darjah sebaik sahaja mendengar suara ‘Root’ pulang dari sekolah.  

            Tajuk asal novel ini dalam Bahasa Jepun ialah Hakase No Aishita Sushiki dengan terjemahan secara langsung ke dalam Bahasa Inggeris iaitu “The Professor's Beloved Equation”. Ia berformat seperti sebuah memoir yang terlekat dalam ingatan si pembantu rumah. Agak menghiburkan apabila pembantu rumah saban hari bakal dihujani dengan soalan yang sama apabila profesor tidak melihat dia melebihi 80 minit sehinggalah dia berpuas hati dengan jawapan yang diberikan.

“Berapa saiz kasut kamu?”
“Apa nombor telefon kamu?”
“Berapa berat kamu ketika dilahirkan?”

 Pernahkah terlintas di kepala, saiz kasut adalah sesuatu yang unik dan ada sebab tersendiri apabila kita memiliki saiz kasut tersebut? Soalan profesor kepada pembantu rumah buat saya tertanya-tanya sendirian. Saiz kasut saya adalah 6 dan ia adalah nombor sempurna kerana jumlah pembahagi bagi 6, ialah 6.

 6 = 1 + 2 + 3.

             Ini sangat menarik.

Saya sendiri baru sahaja menyedari kesempurnaan nombor 6 apabila diperkenalkan dengan keindahan nombor menerusi kacamata Profesor Hakase. Bagi beliau, nombor dan rumus umpama huruf dan tatabahasa dalam Bahasa Matematik. Rosak penggunaan rumus, rosaklah bahasa itu yang telah sedia wujud sebelum kejadian manusia lagi. Oleh itu beliau amat sopan menghargai keberadaan setiap nombor dan seringkali cuba menyelesaikan masalah matematik yang dibentangkan dihadapannya.

Watak utama dalam novel ini ialah Profesor Hakase dan kita hanya berkesempatan mengenali beliau menerusi sudut pandang dan rasa hati pembantu rumah yang bertindak sebagai narator keseluruhan cerita. Pembentukan watak Profesor Hakase adalah berdasarkan watak sebenar iaitu Paul Erdos, seorang pakar matematik ulung dari Hungary. Sebagaimana Paul Erdos, profesor sangat mahir melontarkan nombor sehingga 3 digit dan menganggap itu umpama irama yang terlahir dari lagu di hati.

“1 – 1 = 0. Indah bukan?” – Profesor Hakase.

Pembantu rumah memandang kebolehan profesor sebagai sesuatu yang luar biasa. Dia kagum dengan keperibadian profesor yang tidak mementingkan kebendaan. Bagi saya, orang yang patut diraikan di sini ialah pembantu rumah kerana sikap survival yang ditunjukkan. Dia tidak pernah berhenti berharap, malahan, otaknya tidak pernah berhenti mencari cara untuk memulihkan penyakit profesor. Sikap tabah pembantu rumah semasa membesarkan anaknya juga wajar diberi pujian. 

            Keghairahan pembantu rumah kadangkala diimbangkan dengan ‘Root’ si kecil yang matang lebih dari usianya. Walaupun pembantu rumah berasa kasihan melihat profesor kesepian, jauh di sudut hatinya pembantu rumah juga terasa sepi. Sambil dia cuba menjadi kawan terbaik kepada profesor, dia juga sebenarnya sedang mencari sahabat. Tindakannya memakan diri kerana dia melampaui batas antara majikan dan pekerja.

         Novel ini menganjurkan idea bahawa Sains dan Matematik itu adalah simbol kekuasaan Tuhan. Kemampuan manusia adalah terbatas dan Tuhan Maha Tahu mengapa sesuatu ilmu belum ditemui. Adalah mengejutkan apabila tema ketuhanan diterapkan dalam karya Jepun. Kajian pada 2001 mendapati 65% dari masyarakat Jepun tidak mempercayai Tuhan. Bahkan hampir 80% orang yang mengambil bahagian dalam pelbagai kajian yang lain seringkali memilih untuk tidak mengaitkan diri mereka kepada mana-mana agama. Ini buat saya terfikir bahawa novel ini adalah suatu bentuk dakwah yang cuba disampaikan oleh penulis.

Sejujurnya, terasa seperti perkembangan setiap watak seakan-akan pegun. Jalinan plot yang berbolak-balik antara imbasan babak lalu dan babak kini tidak memberi ruang secukupnya untuk watak berkembang dengan baik, ini kerana watak telah diadun sempurna menjadi diri mereka sejak awal cerita. Ini mengehadkan evolusi watak walaupun berlaku pertambahan pengalaman dan usia. Oleh itu kadangkala terasa bagai kekurangan sesuatu yang menambahkan perisa kepada novel ini.

           Rasa itu diimbangkan dengan beberapa rumus Matematik yang juga turut diwarnakan dengan karakter. Antaranya nombor ratu, nombor sempurna, nombor karib, nombor lebih, nombor kurang, dan banyak lagi rumus lain yang mampu buat hati ini terusik. Boleh juga disiapkan kalkulator di sebelah untuk menguji kesahihan rumus yang dipaparkan. Setakat ini, saya hanya mampu memahami 60% dari konsep matematik dan penyelesaian sahaja.  Nampaknya saya perlu mengulang bacaan untuk kefahaman yang lebih jelas.

Identiti Euler

Ayuh kita renung bersama Identiti Euler atau kadangkala dikenali dengan Rumus Euler yang cukup dekat di hati Profesor Hakase. Sedikit info mengenai Identiti Euler, ia merupakan rumus yang diperkenalkan Leonhard Euler pada abad ke-18. Rumus ini indah sekali bagi para pakar matematik kerana dalam satu rumus sahaja, Euler berjaya menggabungkan 3 operasi asas Aritmatik iaitu penambahan, penggandaan dan nombor indeks dengan 5 pekali tetap Matematik iaitu 0, 1, л , e, dan i. Lantas, ia dinobatkan sebagai Rumus Terbaik Dalam Matematik.

Identiti Euler seolah-olah sebuah metafora kitaran kehidupan Manusia (M) yang lengkap. Bermula dari kelahiran, kita menempuhi satu persatu Kejadian (K) . Kejadian di sini dianggap seperti operasi asas;  usia bertambah, rakan dan ahli keluarga berganda, dan sudahnya kita akhir sekali akan menjadi jasad yang Kosong (0) tanpa nyawa setelah meninggal dunia. Hidup ini akan diiringi dengan Pengalaman (P) iaitu pekali tetap yang pasti akan berlaku; kegagalan dalam percintaan , akademik, pengkhianatan, pengembaraan, penjelajahan, kejayaan, kerjaya dan kebahagiaan dalam mengecapi cinta Ilahi. 

MP + K = 0 

M= Manusia, P = PengalamanK= Kejadian, 0 = Kosong/Kematian

 Novel Rumus Di Hatinya sesuai dijadikan bacaan santai di waktu lapang. Satu perkara yang amat disenangi apabila membaca novel ini, ialah perincian yang dihidangkan oleh Yoko Ogawa. Kredit harus diberi kepada penterjemah kerana berjaya mengekalkan ciri-ciri unik ini. Sambil melayari helaian mukasurat, kita mudah membayangkan visual si pembantu rumah muda tentang situasi yang sedang berlaku. Ini menimbulkan keselesaan dan kesenangan bagi meneruskan pembacaan seolah-olah berada di tepi pantai sambil minum air kelapa dingin. Air kelapa yang penuh khasiat dan kebaikan tetapi juga sungguh enak dinikmati tekak yang dahaga. Ibarat air kelapa, novel ini tuntas dan penuh isi.  

“Hukum matematik ini sungguh indah kerana tiada sebarang kepentingan dalam kehidupan seharian kita”- Profesor Hakase.

Wallahua'lam.
      

Comments

  1. love the review! =) i'm thinking of getting the book thanks to you, haha.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ye ke Sis Nani???

      Huhuhu... (fandom wants to faint coz my idol read my review)

      Thank You.. Enjoy your reading ya....!!

      Delete

Post a Comment

Anything wandering in your mind? Feel free to write...

Popular posts from this blog

Panduan diet selepas pembedahan laparoscopy/laparotomy

Pengalaman Menjalani Pembedahan Laparoscopy

Pengalaman Excess Baggage dengan MAS Airlines