Harta Karun Lezato [Part 10]

“Beritahu pada Datuk Bandar yang mayat Lezato sedang dibedah siasat ya..” arah anggota itu. Rossa dapat melihat misainya yang tebal dan berpintal di hujung seperti Pakcik Mario penjual pisang. Pemuda mengangguk dan memberi tabik hormat. Mujurlah tiada apa-apa berlaku. Mereka segera meninggalkan menara itu.

Bab 5: Apa ada pada namaku?

Langkah Rossa dan Pemuda terhenti sebaik tiba di tempat yang tersorok. “Sekarang apa?” soal Rossa. Mereka tidak lagi berpakaian uniform anggota keselamatan. Pemuda berfikir seketika akan apakah langkah mereka yang seterusnya.
“Kita kena cari benda berharga itu. Itu kunci kepada semua jawapan.”
Rossa juga sedang berfikir akan perkara yang sama. Hanya harta itu akan memberi jawapan kepada mereka berdua akan peristiwa sebenar yang berlaku. Oleh itu mereka harus segera mencari harta itu sebelum sesuatu yang menghancurkan dunia berlaku.
Akan tetapi, bagaimana dia hendak memberitahu Beliza tentang semua ini? Pasti Beliza sekarang sedang menunggunya di The Gate sambil membebel kerana dia telah terlewat.
Mereka menyambung langkah semula. Cuma kali ini belum pasti lagi ke Utara kah, atau ke Selatan kah destinasi mereka. Mereka cuma berjalan dan berjalan meninggalkan Menara Merah sehinggalah mereka tiba di hujung kota. Di sisi kolam tempat Beliza bermain sepatu air sebentar tadi.
Aduhh!! Kaki Rossa tersadung sesuatu lagi. Kali ini bendul pintu gerbang kecil ke kolam air yang menjadi angkara. Akalnya tiba-tiba teringat sesuatu. Sesuatu yang bersinar-sinar.. Sudah tentu itu yang dimaksudkan Larra!
“Dikau tidak ada apa-apakah?” Pemuda cuba membantu Rossa untuk bangun. Pakaian nya yang labuh sekali lagi membantutkan gerak kakinya. Mata Rossa bersinar-sinar memandang Pemuda. Dia sudah tahu kedudukan benda itu. Pemuda bingung dengan tingkah Rossa.
“Daku tahu di mana benda berharga itu? Mereka sedang membawanya keluar dari kota. “ ujarnya kegirangan. Rossa hampir melompat.
“Benarkah? Di mana dikau lihat benda itu? Dikau pastikah?” Soal Pemuda dengan gopoh. Alangkah girangnya hati Pemuda mendengarkan kata-kata Rossa. Mudahlah tugas mereka dalam pencarian harta warisan Lezato. Rossa mengangguk laju.
 “Semasa dalam perjalanan ke kota daku ternampak sekumpulan manusia membawa sesuatu yang bersinar-sinar. Mulanya daku tak tahu apakah ia. Tapi sekarang daku pasti itulah harta pusaka Lezato.. Sungguh..” Beria-ia Rossa menjelaskan.
Pemuda menggosok ubun-ubun Rossa. “Dikau memang gadis yang bijak. Mari kita kejar penjahat-penjahat itu sebelum mereka menghancurkan Silhoutte dan dunia..!” Pemuda seperti sudah tidak sabar lagi untuk memulakan langkah kakinya.
“Nanti dulu Pemuda..  Dikau perlukan kasut yang lebih sesuai untuk berlari. Dan daku perlukan sepasang seluar yang selesa..” Rossa memetik jarinya. 
Sekelip mata pakaian Rossa berubah dan Pemuda mendapat sepasang kasut yang baru. Kasut yang tidak berlubang. Tidak lagi jarinya terdedah dan memperlihatkan kuku kakinya yang biru. “Terima Kasih..” Ujar Pemuda lembut.
Mereka berdua berlari ke arah Utara seperti yang diingat jelas di akal Rossa. Mereka berlari bagaikan kasut mereka tidak menjejak tanah dan hanya memijak angin yang seolah-olah membantu mempercepatkan  perjalanan mereka.
Rossa terasa bahagia mengembara bersama Pemuda di sisinya. Raut wajahnya teramat tenang dan menyenangkan hati Rossa yang sedikit gusar pada awalnya. Sekali sekala Rossa mencuri pandang wajah Pemuda yang sedikit berjambang dan berkumis nipis. Persis wajah putera yang selalu muncul dalam mimpi indah Rossa yang kepenatan mengadun tepung kek di kilang Baba.
Putera yang akan menghilangkan kepenatan Rossa dengan menghulurkan tangan dan mengajak Rossa menari bersamanya dengan alunan muzik oleh burung-burung yang berkicau di taman rahsia yang hanya di ketahui mereka berdua.
Tapi dia bukan bersama mana-mana putera impian. Dia bersama Pemuda yang tidak diketahui namanya. Baru Rossa teringat. Pemuda tidak memberitahu namanya lagi.
Apakah namanya? Adakah Emmet? Adakah Karl? Adakah Ahnaff?? Ahh.. Tidak mungkin namanya Ahnaff. Tidak mungkin namanya seperti Putera Sultan yang gemuk itu. Lihat.. Sekali lagi Rossa telah mengutuk fizikal putera Sultan. Rossa ketawa sendiri di dalam hati.
“Mengapakah dikau tersenyum sendirian?” soal Pemuda tiba-tiba. Rossa jadi malu. “Err..Tidak ada apa-apa.” Dia menyembunyikan pemikiran nakalnya. 

Comments

Popular posts from this blog

Pengalaman Menjalani Pembedahan Laparoscopy

Panduan diet selepas pembedahan laparoscopy/laparotomy

Pengalaman Excess Baggage dengan MAS Airlines