Cereka Pendek bertajuk; Jam 5 pagi

Lampu terbuka.


Kunci dicampak ke satu sudut sofa. Kepalanya terasa berat dan hanya tidur yang mampu menjadi ubat paling mujarab buat masa ini. Tapi dia belum solat Isya lagi. Dia berkira-kira yang dia mahu tidur sejenak di atas sofa itu dan kemudian bangun semula untuk solat. Dia biasa buat begitu. Selalunya dia akan terjaga semula sekitar jam 3 pagi kerana sofa itu pun bukanlah selesa sangat untuk tidur nyenyak sampai pagi. Tiada masalah untuk melakukannya sekali lagi pada malam ini. Malaikat pasti akan mengejutkannya.

Dia terlelap.

Seketika tiada bunyi mahupun suara ataupun apa-apa yang kelihatan. Gelap gelita.

................

"Woi!!!!!!!!"

Matanya terbuka. 

Kenapa dia mendengar jeritan di malam hari begini? Jam di dinding dah menunjukkan pukul 5 pagi. 

Alamak! Dah hampir Subuh! Bergegas dia ke bilik air untuk mengambil wuduk. Sambil dia mengambil wuduk dia mendengar bunyi bising lagi dari dalam bilik teman serumahnya. Jadi bunyi tadi bukan mimpi? Ini bukan pertama kali mereka bergaduh. Dia menggeleng perlahan sambil membuka pintu bilik air.

"You cakap you sayang I!!!"

"Yang, jangan buat macam ni yang! I sayang you, betul. Letak dulu pisau tu sayang!"

Pasangan kekasih itu sedang bertelingkah lagi. Dia tidak dapat keluar kerana pergaduhan mereka di tengah-tengah ruang antara bilik air dan bilik tidurnya.

Daripada celah pintu bilik dia dapat melihat mata Zaza yang merah menyala kerana marah. Ditangannya terhunus pisau dapur yang dihalakan ke arah Shah. Pisau dapur yang selalunya digunakan untuk memotong sayur kelihatan merbahaya sekali pada saat ini. Bila-bila masa sahaja ia boleh mencederakan sesiapa.

"You salah faham. I tak pernah ada hubungan dengan dia!" Jerit Shah.

Zaza menggeleng. Dia tak percaya dan kelihatan nekad sekali hendak menikam Shah dengan pisau itu. Walaupun tangannya kelihatan terketar-ketar tapi nafasnya mencungap menahan kemarahan.

Shah meluru menghampiri Zaza. Pergelutan berlaku. Shah cuba merampas pisau daripada tangan Zaza. Tapi Zaza tak mahu mengalah. Entah dari mana dia mendapatkan tenaga sebegitu. Rasukan amuk barangkali. Shah menjatuhkan badan Zaza dengan tujuan melemahkannya. Zaza masih lagi degil. Sambil menangis dia memegang erat pisau.

Pada saat ini tidak banyak yang dapat dilihat daripada celahan pintu bilik air. Mereka berdua berada di atas lantai dan dia tidak berani untuk keluar. Meskipun telah disergah air sejuk dari pili tadi, dia masih lagi dalam keadaan yang mamai. Kini dia tercangkung sambil berdebar-debar.

"Yang!!!!!!"

Jantungnya berhenti berdegup. Apa yang berlaku? Kenapa Shah menjerit kuat sekali?

Di tangan Shah pisau sudah berlumuran darah. Manakala Zaza terkulai layu di atas lantai. Lagi lah dia takut hendak keluar. 

Zaza dah mati ke? Kenapa dia tak dengar sebarang bunyi atau suara Zaza? Shah bunuh Zaza ke?

Macam mana kalau Shah tahu dia menyaksikan kejadian ini? Kalau ikutkan dia tak patut berada di rumah itu pada malam ini. Tapi rancangan berubah pada saat akhir jadi dia pulang juga. 

Apa yang patut dia lakukan sekarang? Kalau sedikit pun dia membuka pintu, Shah pasti perasan kehadirannya. Jika dia mahu masuk semula ke dalam bilik tidurnya yang hanya berjarak dua langkah dari bilik air itu, dia harus pantas dan senyap. 

Shah tidak kelihatan di samping Zaza. Dia tidak melewati bilik air jadi mungkin dia berada di dapur. Ini lah peluang keemasannya. Untuk kembali ke dalam bilik dan mendapatkan perlindungan. Dia tidak menutup lampu bilik air kerana selalunya mereka memang akan membiarkan lampu bilik air itu terbuka. Tapi dia harus berjalan tanpa sebarang bunyi. 

Pintu bilik tidurnya memang tersekat sedikit. Jadi agak ketat untuk dibuka. Dia harus cepat. Shah boleh kembali bila-bila sahaja. Matanya terpaku ke arah mayat Zaza yang terbujur sambil memerhatikan kelibat Shah. Dalam masa yang sama tangannya memulas tombol pintu. Arghh! Tangannya basah bercampur peluh jadi tombol itu menjadi licin.

Berjaya!

Dia menyelinap ke dalam bilik dan mengunci semula pintu. Jangan buka lampu! Hatinya menasihati. Matanya memandang sepi bilik yang gelap dan hanya disinari cahaya bulan. Sebentar lagi cahaya bulan akan diganti dengan cahaya matahari yang lebih terang dan panas. Kesejukan malam bakal bertukar dengan kehangatan pagi.

Apa yang dia dapat fikirkan pada masa ini hanyalah tidur. Dia berharap ini semua hanya mimpi. Tapi ia terlalu realistik untuk menjadi mimpi. Tidak mungkin ia mimpi. Dia dapat hidu bau darah yang kuat semasa dia melintasi ruang kejadian sebentar tadi. Bila dia menutup pintu, tiada sebarang bunyi lagi yang dapat didengari. Jadi cuma keadaan sepi yang dirasakan dengan kuat pada saat ini.

Senaskah Al-Quran yang terletak di rak buku dicapai dan dipeluk erat dengan tangan kanan rapat ke dadanya. Tangan kiri memegang telefon kemas-kemas. Badan dijatuhkan ke atas katil.

Dia tertidur semula.


Comments

Popular posts from this blog

Pengalaman Menjalani Pembedahan Laparoscopy

Panduan diet selepas pembedahan laparoscopy/laparotomy

Pengalaman Excess Baggage dengan MAS Airlines