Harta Karun Lezato [Part 12]

Bab 6: Mesyuarat di rimba
“Shh..Diam..!” Azraq menekup mulut Rossa. Dia terdengar sesuatu. Pantas dia mengintai di balik rimbunan pohon. Rossa cuba mengikutinya akan tetapi dia takut. Dia mengintai sambil berselindung di belakang Azraq.
Kelihatan seperti sekumpulan binatang sedang berkumpul dan membicarakan sesuatu yang penting. Bermesyuarat barangkali. Di tengah-tengah kumpulan itu, seekor singa yang sudah bertongkat dan berkacamata duduk di atas sebuah tunggul kayu. Kening Rossa berkerut. Dia tidak dapat mendengar sebarang bunyi.
Sebaliknya pula dengan Azraq yang seolah-olah faham dengan bahasa haiwan dan tekun mendengar bicara mereka. Azraq menjadi semakin pelik pada hemat Rossa. Apa sahaja yang Azraq lakukan adalah perkara yang luar biasa bagi manusia biasa.
“Mereka perlu mencari ketua baru. Ketua yang lama, singa tua yang duduk di singgahsana itu sudah terlalu uzur..”
Azraq memberitahu Rossa dengan suara yang perlahan.
“Dikau faham bahasa haiwan?” soal Rossa berbisik. Seriau bicaranya di dengari haiwan. Almaklumlah haiwan mempunyai deria yang sangat tajam.
Azraq mengangguk. Perhatiannya terarah semula kepada sekumpulan haiwan yang sedang bermesyuarat itu. Rossa juga turut memerhatikan haiwan-haiwan itu seolah-olah dia juga memahami mereka.
“Tapi mereka risaukan keadaan raja mereka yang terlalu uzur. Jadi mereka perlu mencari tabib manusia secepat mungkin kerana Tabib Kancil telah mati dibunuh pemburu.”
Azraq menyambung pemberitahuannya. “Jadi apa yang kita boleh lakukan? Boleh kah kita membantu mereka?” soal Rossa kembali.
“Dikau boleh kan?” Azraq bertanya. Rossa terasa bingung.   “ Daku? Apa yang boleh daku lakukan?”
“Ilmu itu. Salah satu cabangnya adalah menyembuhkan penyakitkan?” Azraq mendapatkan kepastian.
Rossa berkira-kira. Iya dia pernah menyembuhkan luka di kaki Beliza suatu ketika dahulu. Dia kurang pasti jika dia mampu membantu Raja Singa itu sepenuhnya.
“Daku pernah ubati luka. Tapi kecederaan parah kurang pasti.”
“Tak mengapa Rossa. Kita cuba dulu..” Azraq memberi jaminan.
Rossa mengangguk. Mampukah dia mengubati cedera Raja Singa? Apakah jika gagal mereka berdua akan dibahamnya pula?
“Jadi daku ke sana dahulu ya. Bertemu dengan haiwan-haiwan itu..” Azraq memberi cadangan.
“Jangan. Kita pergi berdua. Tapi dikau yang mulakan bicara..” Rossa meningkah. Sebenarnya dia khuatir tinggal sendiri di tepi semak itu.
“Apa khabar kalian semua?” sapa Azraq saat mereka mula-mula menyertai mesyuarat itu. Kesemua haiwan sangat terkejut dengan kehadiran manusia di kalangan mereka. Hinggakan ada yang lari cuba menyelamatkan diri.
“Jangan takut.. jangan lari. Daku datang dengan niat baik. Daku boleh faham bahasa kalian semua..” sambung Azraq dengan lembut lagi. Binatang-binatang tidak jadi lari. Sebaliknya memerhati tingkah Azraq dan Rossa berdua.
Raja Singa yang bertongkat menyapa. “ Beta Qawa, raja singa. Siapa gerangan yang datang bertandang?”  soal mesra Raja Singa.
“Patik Azraq, dan dia Rossa. Kami pengembara di dinihari. Terdengar oleh angin buluh perindu bahawa tuanku gering. Benarkah?” Azraq menyambung bicara.
Harimau si Perdana Menteri berbisik sesuatu kepada Raja Singa. “Orang muda bergurau barangkali. Masakan angin boleh bersuara..” titah raja singa bertongkat lagi.
“Iya maafkan patik.. patik bergurau. Sebenarnya patik terdengar keluhan sang cengkerik yang berteduh di bawah pohon buluh perindu  akan nasib raja mereka..” Azraq berbohong sedikit.
Rossa hanya diam sedari tadi. Tangannya menggenggam erat hujut kainnya. Menahan gelora jiwa yang ketakutan. Dia melihat barisan beruang yang berdiri tegap di belakang raja. Di kirinya terdapat beberapa ekor singa betina yang sibuk dengan anak-anaknya.
Sementara di kanannya dan Azraq, kuda-kuda belang berdiri gagah. Dia takut binatang-binatang itu akan menerkam kearahnya dan Azraq dan mereka tidak mampu berbuat apa-apa dengannya.


“Nampaknya rakan orang muda takut sekali. Takut dengan beta kah?” 

Comments

Popular posts from this blog

Pengalaman Menjalani Pembedahan Laparoscopy

Panduan diet selepas pembedahan laparoscopy/laparotomy

Pengalaman Excess Baggage dengan MAS Airlines