Siddhartha: Advencer Si Pencari Ketenangan

Tajuk               : Siddhartha
Penulis            :  Herman Hesse (Penterjemah   :  Hedy Holzwarth)
Bahasa Asal    : Bahasa German            
Penerbit          :  Cetakan Kedua, 2009, Institut Terjemahan & Buku Malaysia
Halaman         : 168 mukasurat
No Resit          : ITBM02001608 

       Apakah hakikat kejadian manusia? Mengikut ajaran Islam, manusia dilahirkan untuk menjadi Khalifah di muka bumi ini dan juga beribadah kepada Allah. Itu adalah suatu penyataan yang merangkumi  keluasan dunia dan setinggi langit biru. Sejauh mana manusia mampu memenuhi jangkaan itu,? Ia tertakluk kepada usaha manusia itu sendiri.

        Dalam tamadun kemanusiaan, akan muncul manusia yang memberi manfaat kepada manusia lain. Nama lain bagi manusia hebat itu ialah tokoh. Socrates, Siddhartha Gautama Buddha, Nabi Isa, dan Nabi Muhammad (sekadar menamakan beberapa contoh) adalah tokoh-tokoh yang menjadi sanjungan manusia biasa kerana keperibadian dan juga falsafah kemanusiaan yang dibawa memberi manfaat kepada seluruh manusia di zaman mereka sehingga kini.

[Edisi pertama Bahasa Inggeris 1951]

           Novel ini telah mengangkat seorang manusia biasa; Siddhartha putera Brahmin menjadi tokoh kepada sebilangan manusia di abad ke 20. Falsafah kerohanian yang menjadi cagaran Herman Hesse dalam novelnya diangkat menjadi medium pertembungan idea timur dan barat pada zaman ketika Hedonisme dan Materialisme menjadi anutan manusia.

         Siddhartha tekad dalam pengembaraan mencapai ketenangan. Malangnya, tiada suatu pun unsur luaran berjaya mendidik jiwa Siddhartha untuk menyelami hakikat kejadian alam dan manusia. Unsur luaran di sini ialah Bapa Siddhartha, Samana, Govindha, Siddhartha Gautama Buddha, Kamala, Kasmawani, Vasudeva dan Siddhartha Muda.

      Plot yang dibentangkan bersifat linear dengan selingan pertembungan idea antara watak-watak sampingan dan Sidhhartha. Seperti puitisnya kesimpulan bahawa tiada perbezaan besar antara idea dan kata-kata. Begitulah mudahnya Siddhartha berhujah dengan semua unsur luaran.


            Bahkan Gautama Buddha juga dihujani dengan persoalan mengenai asas ajarannya;

“Ajaran Buddha membatalkan dan menafikan seluruh hukum dunia yang kekal dan seragam melalui batas kecil persempadanan antara Samsara dan Nirwana.”

             Herman Hesse sinis terhadap gagasan pemikiran anjuran Gautama Buddha dan membuat penyataan berani bahawa pengikut Buddha tidak akan mampu mencapai ketenangan sebagaimana Gautama Buddha yang sentiasa senyum. Govinda, sahabat baik Siddhartha sendiri digambarkan sebagai pengikut Buddha yang terlalu asyik mencari sehingga tidak menemui apa yang dicari.

[Terbitan Pertama 1922 dalam Bahasa German]

Wanita, Cinta dan Kasih Sayang.

            Saya berasa aneh dengan sikap Siddhartha tatkala mudahnya dia tunduk dengan kemahuan Kamala yang inginkan dia bercampur dengan manusia biasa. Seolah-olah Siddhartha sudah meninggalkan sistem kepercayaan yang dia anuti selama ini. Saya tidak bersetuju dengan pilihan Siddhartha menggadaikan pegangannya demi mempelajari seni yang Kamala kuasai.

            Latar belakang novel ini ditulis seiring dengan kelahiran Buddhisme di India. Wanita pada zaman itu disamakan dengan kasta Sudras. Pendamping, penghibur, suri rumah, tidak lebih dari itu. Tetapi Kamala bukan sekadar penghibur. Kamala ialah pencinta, guru, wanita, ibu, dan berkuasa membuat pilihan ke atas hidupnya.

            Kamala menempelak Siddhartha yang tidak tahu bercinta walaupun dirinya sendiri menganggap cinta itu suatu pekerjaan.

“Walaupun begitu kekasihku, engkau tetap seorang samana dan engkau tidak benar-benar mencintai aku, engkau tidak mencintai sesiapapun....” – Kamala

           Ya. Memang benar Siddhartha tidak mencintai sesiapapun sehinggalah dia menyerahkan perhatiannya kepada Siddhartha Muda, anak lelakinya bersama Kamala. Ketika itulah buat pertama kalinya Siddhartha mengenali keperitan dan kesengsaraan dalam sebuah percintaan.

           Di dalam pengembaraan spiritual ini, Siddhartha menjadi dewasa dek pengalaman yang ditempuhinya. Bermula dengan pemuda Brahmin yang selesa dengan harta benda, dia menjadi Samana yang hidup serba sederhana. Ironinya, Herman Hesse meletakkan Siddhartha di alam Samsara lebih lama daripada tempoh alam kesedaran yang dilalui sebelum itu.

          Siddhartha cepat belajar segala teknik dan ilmu kehidupan semasa menjadi Brahmin dan Samana. Akan tetapi, memerlukan bertahun-tahun untuk menyedari dia telah larut dalam fitnah dunia dan kebendaan. Mungkin inilah sistem tarbiyah yang berkesan dan akhirnya membentuk keperibadian Siddhartha setelah usia tua.

            “Pengetahuan boleh disampaikan. Tapi kebijaksanaan tidak boleh” – Siddhartha

            Saya tertarik dengan olahan watak Siddhartha yang begitu dinamik. Di dalam novel ini kita dapat melihat dia yang berani, dia yang petah, dia yang bongkak, dia yang berputus asa, dia yang merendah diri, dan dia yang akhirnya mencapai ketenangan.

           Manusia boleh menjadi pelbagai perkara bila dia membenarkan sesuatu berlaku terhadapnya tanpa kawalan. Di sinilah kekuatan dalaman harus menjadi umpama sauh yang membuatkan kita bertahan bila ribut melanda. Jika dalam novel ini Om merupakan kekuatan dalaman yang diperlukan, sebagai umat Islam, kita tidak harus mengabaikan pergantungan terhadap Allah. Itulah hakikat penciptaan sebagai makhluk Tuhan.

         Akhirnya setelah mempelajari seni mendengar sungai, Siddhartha perlahan lahan mencapai ketenangan. Sungai yang zahirnya makhluk tidak bernyawa menjadi simbol kepada rahsia alam yang hanya tersingkap kepada mereka yang berusaha memahami. Vasudeva sang pendayung sampan bukan cuba memberi ajaran seperti watak-watak lain, sebaliknya hanya menunjukkan jalan yang sebenar dalam merungkai misteri kehidupan.


[Edisi Bahasa Melayu Cetakan Kedua 2009]

            Ini adalah novel falsafah. Penuh dengan doktrin spiritual bagi mereka yang ingin menelusuri tebing jiwanya. Novel ini tebal dengan ajaran dan falsafah Hindu dan Buddhisme seperti Nirwana, Atma, Samsara, Om, Dewa, dan Brahman. Oleh itu, buatlah kerja rumah sedikit dengan mengambil tahu pengertian istilah-istilah ini jika anda ingin menambah kefahaman. Juga terdapat petikan dari kitab-kitab seperti Upanishad dan Veda.

       Dalam setiap kebenaran, perkara yang bertentangan dengannya juga benar. Ini merupakan hikmah dalam perdebatan yang menganjurkan pendebat bersetuju untuk tidak bersetuju dalam masa yang sama. Herman Hesse menjemput pembaca untuk merenung kembali sungai kehidupan yang telah dilalui.

           Bacalah Siddhartha jika anda seorang Melayu yang ingin meluaskan minda, seperti saranan Professor Diraja Ungku A. Aziz. Bagi saya anda barangkali menemui novel ini mempunyai banyak karakter. Anda mungkin membencinya, mungkin menyukainya, tenggelam dalam keasyikan, bertambah kusut pemikiran, atau mungkin tidak gemarkannya langsung. Beranikah anda mencabar sauh pemikiran yang sekian lama terendam dalam kolam takungan material? 

Tepuk dada, tanya lah iman!

Kredit harus diberikan kepada usaha yang telah dijalankan oleh pihak penerbit dalam Bahasa Melayu agar lebih banyak lagi karya agung dapat dinikmati oleh khalayak pembaca bahan bacaan Bahasa Melayu.

Wallahua'lam.

Comments

Popular posts from this blog

Pengalaman Menjalani Pembedahan Laparoscopy

Panduan diet selepas pembedahan laparoscopy/laparotomy

Pengalaman Excess Baggage dengan MAS Airlines