Harta Karun Lezato [Part 2]
“Nah… Semua epal pun jadi biru..” katanya sambil menghulurkan dua epal madu kepada Rossa. Mata Rossa bulat sambil dia tersenyum. “Terima Kasih!” Dia menarik lengan Beliza yang sedang leka memamah epal madu hijau dan meninggalkan Pondok Epal Madu. Kini mereka perlu mencari Pondok Kopi Ceri pula.
Tiba-tiba sahaja ada seekor tupai menggigit hujung baju Rossa. “Eh pergilah! Tupai bodoh!” Beliza menendang tupai itu dengan kakinya. “Beliza…” Rossa menahan tendangan itu.
“Pasti dia lapar..” Rossa menghulurkan sebiji epal madu biru kepada tupai itu. “Pergi main jauh-jauh ya. Di sini nanti dipijak orang..” Dia menggosok-gosok kepala tupai itu. Seakan faham, tupai itu mengangguk perlahan lalu mencicit pergi dan hilang dicelah-celah orang ramai.
“Dikau ini terlalu lurus. Dengan tupai pun mahu kasihan. Jika tupai itu putera sultan sudah pasti dikau akan jadi isterinya..” Beliza berkata sambil ligat mengunyah epal madu. Rossa tertawa. “Mengarutlah..!”
Ahh.. Di sana rupanya pondok-pondok kopi. Tapi yang mana satu pondok Kopi Ceri? Rossa menggetap bibir kemudian tersenyum lebar. Beliza memandangnya. Terdapat ratusan pondok kopi disitu. Mana mungkin mereka dapat mencari pondok Kopi Ceri pada malam itu juga.
Rossa mengangkat keningnya yang bermaksud; ini kerja mudah. Dia memetik jarinya sebanyak dua kali. Pantas sahaja kedudukan Pondok Kopi Ceri yang di cari terserlah. Beliza menepuk bahunya. “Dikau memang hebat!”
“Tuan-tuan dan puan-puan! Selamat datang ke Sambutan perayaan Kota Silhouette ke-1000 tahun! Sempena hari yang bertuah ini, Sultan dan Sultanah telah bersetuju mencemar duli dan sama-sama meraikan hari ini bersama-sama kita semua rakyat jelata..”
Suara Datuk Bandar kedengaran lantang dari atas pentas utama. Orang ramai mendongak dari bawah pentas utama. Rossa memerhati para pembesar kerajaan dan pemerintah dengan perasaan yang geli hati. Sultan yang bermisai tebal kelihatan janggal di sisi Sultanah-nya yang berbadan kurus dan tinggi lampai.
“Oleh itu, pada malam ini juga, Baginda Sultan dan Sultanah akan memilih seorang gadis untuk dijadikan Anak Angkat Diraja dan akan diberi semua kelebihan selayaknya seperti seorang Puteri Raja. Dan akan dikahwinkan dengan Putera Ahnaff Shah. Walaubagaimanapun Putera Ahnaff tidak berada bersama kita pada malam ini kerana menduduki peperiksaan SAT”.
Rakyat bertepuk tangan. Masing-masing tidak sabar menanti kepulangan Putera Ahnaff. Bagi yang mempunyai anak gadis, menaruh harapan tinggi agar anak gadis mereka terpilih menjadi Puteri.
Beliza menepuk bahunya. “Rossa, berharaplah Sultan akan pilih dikau. Nanti dikau tak perlu tolong Baba di kilang kek lagi.” Rossa membulatkan matanya tepat ke arah Beliza. “Jangan mimpilah. Lagipun Putera Ahnaff tu mesti gemuk macam ayahandanya.” Tawa mereka berdua berderai.
Comments
Post a Comment
Anything wandering in your mind? Feel free to write...