Hidup Tanpa Tuhan

Salam Ramadhan..

Bagaimana dengan Ramadhan kalian?

Sejauh mana kefahaman kita tentang wujudnya Tuhan yang menjadi Pencipta dan Pentadbir Alam yang tiada batasan ini? Niat apakah ibadah kita? 

Saya terfikir perkara ini selepas mendengar pesanan Imam Muda Asyraf lewat petang semalam mengenai manusia yang tidak betah tinggalkan ibadat Puasa tetapi sangat tegar meninggalkan solat.

Jadi terlahir suatu pemikiran, apakah benar manusia tidak takutkan Tuhan?

Jika kita tidak berpuasa, manusia boleh nampak kita makan, minum, merokok dan sebagainya. Tapi bila kita meninggalkan solat, sangat mudah kita sorokkan dari manusia kecuali yang paling dekat dengan kehidupan kita.

Di manakah sifat Ihsan? 

Adakah bila kita berani meninggalkan Ibadat membawa konteks yang kita tidak percaya dengan kewujudan Tuhan?

Persoalan mengenai keberadaan/kewujudan Tuhan sekian lama menjadi persoalan manusia sejak wujudnya peradaban Manusia. Saya kira Adam bernasib baik dilahirkan hampir dengan Tuhan dan diajar secara 'hands-on' oleh Sang Pencipta tentang nama-nama setiap benda yang ada di dalam Syurga.

"Dan Dia mengajarkan kepada Adam nama-nama (benda-benda) seluruhnya, kemudian mengemukakannya kepada para Malaikat lalu berfirman: "Sebutkanlah kepada-Ku nama benda-benda itu jika kamu memang benar orang-orang yang benar!...."

                                                                                                                    (Surah Al-Baqarah: 31-32)

Sekian lama manusia cuba memahami hakikat penciptaan Alam dan kewujudan manusia yang dianggap bijaksana dalam mentadbir Alam. Ribuan terjemahan dari pemahaman dan kajian manusia ini terlahir dalam suatu kesimpulan yang digelar Agama (Religion).

Bahkan dalam Al-Quran diceritakan seorang hamba Soleh bertaraf Nabi Ulul Azmi iaitu Nabi Ibrahim yang sejak muda cuba menterjemahkan konteks ketuhanan mengikut acuannya sendiri. Baginda membuat konklusi bahawa Tuhan haruslah yang paling berkuasa antara semua perkara yang wujud di muka bumi ini kerana mana mungkin Maha Pencipta ditelan kegelapan malam sebagaimana hilangnya matahari bila tiba sang rembulan.

Sebagai orang Islam, kita diajari bahawa Allah itu adalah Tuhan orang Islam, sehinggakan bila ada Agama lain cuba memanggil Tuhan itu dengan perkataan Allah, kita menganggap seolah-olah mereka cuba merampas kepercayaan suci Islam yang selama ini mempunyai 'hak cipta' kepada perkataan tersebut. 

Islam kah kita bila kita terang-terangan menolak anjuran menutup aurat dan beramal dengan 5 Rukun Islam? 

Sudah cukup Islam kah bila di I.C tertulis agama Islam?

Umat Islam kini lebih selesa hidup tanpa Tuhan dan yakin dengan iman senipis kulit bawang ini mampu menamatkan usia mereka dengan Husnul Khatimah. Untung-untung, selagi ada Iman dalam dada seperti lafaz Syahadah, dapat lah masuk ke Syurga selepas beberapa tahun di seksa dalam Neraka. 

Pencarian manusia berakal tentang hakikat ketuhanan tidak pernah berhenti selagi dunia ini tidak mencapai Hari Kiamat. Bahkan bila Dajjal datang berdakwah dengan hujan dan kelajuan sepantas cahaya, manusia tanpa berfikir panjang menyembah Dajjal yang muncul penuh muslihat.

Sekecil mana pun perbuatan kita mengabaikan Tuhan, ia menterjemahkan pemahaman kita tentang hakikat kewujudan Tuhan yang seiring dengan setiap nafas dan derap langkah yang kita redahi.

Alangkah ruginya manusia yang tidak merasai kemanisan hidup bertuhan dan menganggap manusia itu lahir atas kehendaknya sendiri dan berevolusi dari makhluk yang tidak berakal.


Selamat berpuasa sehingga ke akhir Ramadhan!


Comments

Popular posts from this blog

Pengalaman Menjalani Pembedahan Laparoscopy

Panduan diet selepas pembedahan laparoscopy/laparotomy

Pengalaman Excess Baggage dengan MAS Airlines