Harta Karun Lezato [Part 4]

Di wajah anak-anak kecil ada juga yang ketakutan kerana khuatir api akan jatuh ke atas mereka. Tapi ibu bapa mereka lekas memujuk dengan menghulur gula kapas yang manis semanis sebakul madu. Sementara pasangan kekasih pula tersenyum manja kepada kekasih masing-masing bilamana menikmati suasana romantis itu.

Rossa duduk tenang di atas tembok. Memerhatikan kelibat orang ramai yang tak habis-habis berpesta. Dia rasa selesa untuk menjadi pemerhati sahaja di situ. Untuk menyertai mereka, dia canggung.

Beliza yang sedang seronok mencuba sepatu air yang boleh menyebabkan pemakainya terapung di atas air, melambai ke arahnya. Ia merupakan ciptaan terbaru syarikat North Kingdom Asset atau NOKIA yang setiap bulan memasarkan alat ciptaan mereka. Beliza memang sukakan rekaan NOKIA.

Bulan lalu Beliza membeli cengkerang yang mengeluarkan muzik. Juga rekaan NOKIA. Tapi Rossa hanya sukakan rekaan South Nyetta atau SONY yang lebih glamor dan harga yang berpatutan. Alat kegemaran yang telah dibeli adalah anting-antingnya yang boleh mendengar suara orang di bilik sebelah jika diputar permatanya.

Beliza hampir terjatuh ke dalam air bila seseorang yang tidak cekap bermain alat itu melanggarnya. Rossa lekas-lekas memetik jarinya dengan perlahan. Mujurlah Beliza sempat diselamatkan. Kalau tidak pasti Mak Cik Betta akan marah kerana harga baju itu terlalu mahal. Itupun disewa dengan harga sejam 30 kiss di kedai Donna yang cekik darah. Semua itu demi memastikan Beliza tampak cantik dan bergaya di malam perayaan ini.

Tapi tidak pula Rossa nampak kelibat Mak Cik Betta di sini. Walhal dia juga beria-ia untuk pergi bersama rakan-rakan kelab gossipnya. Ibu Beliza sememangnya wanita yang selalu mengikuti perkembangan fesyen terkini. Apa sahaja beg yang diperagakan di cermin butik-butik, pasti ibunya yang memiliki dahulu versi tiruannya.

Pasti seronok mempunyai ibu. Rossa tidak tahu bagaimanakah perasaan tersebut. Baba merupakan ayah dan juga ibunya sejak dia tinggal bersama lelaki tua separuh usia itu. Rossa tidak tahu bagaimanakah rupa ibunya, juga ayahnya. Itupun jika dia mempunyai ibu bapa.

Jika tidak, mungkin benar seperti kata Beliza. Dia dilahirkan oleh sepohon bunga ros biru. Kerana itulah di lengannya terdapat tatu bunga ros berwarna biru. Beliza pasti mendapat ilham itu ketika mendengar kisah-kisah dongeng daripada penglipurlara.

Rossa tidak percaya kata-katanya. Namun kadangkala bila kesepian menjengah ruang jiwa, dia cuba juga untuk membayangkan bagaimana jika Beliza memberitahu perkara yang benar kepadanya.

“Gadis yang duduk sendirian adalah gadis yang tidak tahu bergaul. Kelak hidupnya akan sepi tanpa suara jiran tetangga.” Satu suara mengganggu lamunan Rossa. Rossa menoleh. Dahinya berkerut.

Comments

  1. wah...nokia and sony pun ada.kreatif sey hampa reka nama-nama watak/tempat/benda lam cita ni.
    waiting for the next piece...

    ReplyDelete

Post a Comment

Anything wandering in your mind? Feel free to write...

Popular posts from this blog

Panduan diet selepas pembedahan laparoscopy/laparotomy

Pengalaman Menjalani Pembedahan Laparoscopy

Pengalaman Excess Baggage dengan MAS Airlines