Alasan untuk menangis (Adakah kamu EMPATI?)

Salam readers..

Hari ini hari ke 5.. Saya rasa setiap hari saya mencari alasan untuk menangis. Kadang-kadang tu tiada kaitan secara langsung dengan beliau tapi saya cuba cari kaitan untuk sengaja menyedihkan diri sendiri. 

Mungkin ubat 'penenang' saya ambil ni sudah mula tunjukkan kesan. Atau hanya kesan placebo? Barangkali juga.

Kebanyakan masa kini dirasakan tenang. Kesan psikologi setelah doa kepada Ilahi dan juga dari ubat homoepati membantu saya mengharungi hari demi hari. Ya. Saya begitu parah hingga perlukan bantuan luaran untuk menenangkan minda dan hati. Terpulang kepada anda jika ingin berfikir begitu.

Saya cuba menyibukkan diri demi mengisi masa. Selain dari meneruskan pekerjaan seperti biasa saya mencabar diri melakukan benda-benda baru. Kadang-kadang rasa kelakar tapi ketawa itu ternyata penawar paling berkesan. Entah bagaimana niat itu bagai disahut oleh alam. Selepas melayari laman web sebuah stesen radio, saya mendapat tahu mereka memerlukan penyampai radio sambilan. 

Saya fikirkan, apa salahnya mencuba? 

Saya tidak rugi apa-apa dan mereka juga hanya perlu meluangkan masa untuk membaca resume. Saya cuba fikirkan cara yang kreatif untuk menonjolkan diri saya berbanding calon lain. Berjaya atau tidak itu perkara kedua. Kerana saya dah cukup bangga jika saya benar-benar berjaya menghantar resume ke stesen radio itu!

Kemudian saya mendapat tahu salah seorang rakan sepengajian di UPM dahulu perlukan seseorang untuk menulis artikel di blog. Bayaran nya mungkin kecil (Sebenarnya saya tidak tahu standard harga untuk artikel sepanjang 200-300 patah perkataan). Tapi langkah besar bermula dengan langkah yang kecil. Ini suatu peluang untuk saya menambah skil menulis terutamanya artikel itu nanti dalam Bahasa Inggeris. Oh my English!

Oh.. Adakah kalian penat membaca tulisan dalam Bahasa Melayu yang penuh ini? Saya harap tidak.. Sengaja saya tidak mahu merojakkan bahasa. 

Saya terfikir adakah saya normal kerana selepas mendapat tahu berita kematiannya, terdetik dalam hati bahawa jika saya berkahwin dengan beliau lebih awal, pasti saya menjadi seorang Janda sekarang.

Dan saya ketawa besar. 

Bagi sesetengah mata yang memandang, mereka aneh mendengar saya bergelak ketawa dan berfikir perkara sebegitu bila mendengar berita sebesar ini. Positif atau tidak bergantung kepada konteks pemikiran yang anda alami. 

Rakan-rakan saya banyak melahirkan simpati. Dahulu juga saya simpati mendengar berita kematian sahabat/keluarga terdekat rakan-rakan saya. Kini saya bukan sahaja simpati bahkan

EMPATI

Ya. Meletakkan diri kita di dalam diri orang itu. 

Ia bukan suatu yang mudah sehinggalah kita menghadapi insiden yang serupa.

Saya tidak akan EMPATI masalah pesakit saya menurunkan berat badan sehinggalah saya mengalami masalah yang sama.

Saya tidak akan EMPATI nada kesedihan yang sama terhadap kisah kawan saya kematian ibu  sehinggalah rakan akrab saya sendiri meninggal dunia.

Saya baru sedar semua itu. Mungkin dan barangkali memang salah satu hikmah dari pemergian beliau.

.....................................


dan sebenar-sebenarnya dalam diam saya masih berharap yang beliau masih hidup. [Shhhh.. Ini rahsia!]

-

Comments

Popular posts from this blog

Pengalaman Menjalani Pembedahan Laparoscopy

Panduan diet selepas pembedahan laparoscopy/laparotomy

Pengalaman Excess Baggage dengan MAS Airlines