Menangani kematian sahabat karib (atau kekasih)

Salam pembaca.

Hari ini hari ketiga sejak saya menerima berita kematian seseorang yang begitu rapat dengan saya. Rasa macam semua ini dusta dan saya bangun setiap pagi dengan harapan ia adalah mimpi ngeri yang berakhir sebaik saya bangun dari tidur. 

Tapi saya tersilap.

Hari pertama saya menerima berita kematiannya, saya menangis tanpa henti sepanjang hari sehingga lah saya tertidur di waktu malam. Saya menelefon semua orang yang mengetahui kisah saya dengan beliau dan menceritakan apa yang berlaku. Apa yang saya sedari kemudiannya ialah saya cuba membina suatu 'protection' supaya mengelak ada yang bertanya tentang beliau di kemudian hari. Kerana saya tidak mahu terus terusan sedih.

Ya.. saya masih belum menggunakan perkataan Arwah. Begitu juga dalam perbualan sms saya dengan adik beliau, adik nya masih lagi menggunakan perkataan 'Abang Saya'. Begitu juga dengan ibunya yang hanya menyebut 'Dia'. 

Walaupun mereka menyatakan tidak berasa apa-apa, itu sahaja merupakan petanda bahawa mereka masih belum menerima sepenuhnya kematian beliau.

Apakah hubungan saya dengan beliau? Cukuplah sekadar saya katakan beliau lebih dari seorang kawan dan teman. Hampir setiap perkara saya ceritakan kepadanya. Beliau menjadi pendengar paling setia dan membetulkan banyak tanggapan saya terhadap kehidupan. Sukar untuk ditafsirkan adakah perasaan saya kepadanya adalah cinta ataupun apa. Ia mungkin bukan sekadar cinta. Dia sahabat, teman, dan semua bentuk hubungan itu.


Selepas saya bangkit dari tidur di hari kedua (yakni semalam), dengan mata yang bengkak saya berazam untuk tidak menangis lagi. Saya mulai menerima hakikat yang beliau sudah tiada. Jika hari pertama saya berasa hiba kerana memikirkan masa depan yang tidak dapat dilakarkan bersama . Namun rupanya di hari kedua, isu lain pula yang timbul. Saya terbayangkan detik-detik akhir bersama beliau. Saya mendapat tahu bahawa kurang dari sejam detik beliau mengalami kemalangan, beliau sedang berbalas sms dengan saya. Makin hiba dan pedih hati ini.

Di hari kedua juga saya sudah tidak sanggup membuka email kerana pasti akan terlihat namanya. Jadi saya meminta bantuan sahabat saya Maisarah untuk menyimpan kesemua email dari beliau di dalam satu folder bernama Ibrahim. Mengapa Ibrahim? Kerana di awal perkenalan kami pernah mengaitkan namanya dengan gelaran kepada Nabi Allah Ibrahim Al-Khalil.

Bagaimana saya berusaha melepasi ujian ini?

#1 Dapatkan nasihat rakan-rakan

Setiap kali saya menangis, saya akan menelefon sahabat saya. Saya tidak mampu menangis sendirian. Itu yang saya rasakan pada mulanya.

Setelah memberitahu semua orang yang saya rasakan mengenali beliau melalui saya, saya dapati ada beberapa nasihat yang benar-benar membantu tapi ada juga yang saya tidak mencapai objektif.

- "Dia memang bukan untuk kau."
- "Allah akan berikan lelaki yang lebih baik kepada kau."
- "Orang yang hidup pasti akan mati."

Saya kira orang-orang yang berkata demikian memang berniat baik. Saya hargai niat murni itu.
Cuma jujur saya nyatakan di sini, sebaik sahaja beliau meninggal, perkara pertama yang terlintas ialah dia memang bukan untuk saya. Jadi bila berkali kali diingatkan, saya rasa sedikit jengkel. Begitu juga dengan nasihat yang kedua dan ke tiga. Saya sangat mengerti hakikat itu.

Ada juga yang tidak mampu memberikan nasihat kerana mereka speechless bila saya menangis teresak-esak dengan keadaan yang agak teruk. Mereka hanya memberitahu agar bersabar dan tabahkan diri. Itu juga sudah cukup bagi saya bila mereka mendoakan agar saya bertahan.

Dalam pada itu, ada juga nasihat yang benar-benar berkesan, 

- "Curahkan rasa sayang itu pada Yang Hak. Mudahan sayang kamu pada dia buat kamu lebih tenang.."
- "Hargailah manusia yang ada di sekeliling kamu sekarang.."
- "Allah kan ada.."
- "Mungkin selama ini kita ingat manusia sebagai tempat mengadu tapi sebenarnya Allah lah sebaik-baik  
   tempat untuk mengadu. Yang boleh jaga rahsia kita, yang beri petunjuk."


Tak kurang juga yang berkongsi kisah hidup mereka sendiri.

- "Masa akak bercerai dulu pun.. Akak sedih macam awak juga.. Tapi lepas tu dah ok dah.."

Sebaik sahaja saya terdengar kakak tu cerita pasal kisah perceraian dia, saya terus berhenti menangis! 
Ya Allah betapa hebatnya dugaan buat beliau bila suami nya tiba-tiba tidak mempunyai perasaan kepadanya
Saya seharusnya lebih bersyukur..

Ya... Bersyukur kerana ujian saya hanya lah sekecil ini. 

"Ada kakak tu tengah mengandung 8 bulan tiba-tiba suami dia meninggal." 

"Ada kakak tu, suami dia pergi jalan-jalan kat air terjun lepas tu lemas. Baru kahwin 3 bulan lepas tu baru dia sedar dia tengah mengandung"

"Ada orang kampung saya adik dia on the way ambil baju pengantin lepas tu accident. Kenduri pengantin tukar kepada kenduri arwah"

Macam-macam berita yang lebih tragis yang saya dengar. Itu semua buat saya sedar betapa beruntungnya saya menerima ujian yang sangat kecil jika dibandingkan dengan mereka. Dan mereka tabah. Tersangat tabah. Jadi saya percaya saya juga mampu melepasi ujian ini dan mendapatkan kebahagiaan sepertimana mereka sekarang.

#2 Kembali kepada Sang Pencipta

Satu lagi, selain dari itu, saya mendapati zikir kepada Allah tersangat berkesan bila hendak melawan perasaan sedih yang tidak berkesudahan itu. Bila saya rasa sedih saya terus beristighfar supaya saya tidak terus menangis. Alhamdulillah.. Itulah hikmah nya berzikir. Perkara yang saya akui kurang benar saya lakukan sebelum ini. Membaca Al-Quran, surah-surah tertentu untuk ketenangan. Surah Al-Insyirah jika dibaca selepas solat Insya Allah membawa kepada ketenangan jiwa. Saya juga berusaha membaca Yasin untuk beliau walaupun saya menangis di saat saya membaca bait-bait ayat tapi saya teruskan juga untuk menghabiskan bacaan.

#3 Dengar dan ikuti tazkirah

Dan apa lagi yang saya lakukan? Oh ya.. Saya juga mulai membaca artikel inspirasi dan motivasi dan juga mulai mengikuti facebook tokoh-tokoh motivasi. Tazkirah secara konstant itu juga berkesan menawarkan rasa hiba di dalam hati. Prof Dr Muhaya merupakan salah satu tokoh yang tidak jemu memberikan tazkirah. Begitu juga artikel-artikel dari Ustaz Pahrol Mohd Juoi. 

#4 Lakukan aktiviti yang menenangkan

Saya sememangnya menggemari kanak-kanak dan bayi. Jadi pada hari ini saya membantu sepupu saya menjaga anak beliau Rifqi (jika anda masih ingat saya pernah post kan video nya di sini). Bayi adalah terapi bagi saya. Terserap segala tekanan dan stress yang melanda bila mana saya melihat wajah mulus kanak-kanak yang masih tidak berdosa.

Carilah aktiviti yang anda gemari. Dimana anda boleh menjadi diri sendiri dan bebas mengekspresi diri.

Saya juga akan pergi ke kursus fotografi (salah satu perkara yang saya pernah bincangkan dengan beliau beberapa jam sebelum kemalangan yang meragut nyawanya) kerana fotografi juga aktiviti yang menenangkan saya.


Gambar yang memulakan segala-galanya.
#5 Melancong

Ya. Seriously. Pergilah melancong dan bawa diri anda ke tempat orang. Ini sangat berkesan. Walaupun ia umpama escapism sementara, tapi penawarnya memang mujarab. Tapi janganlah pergi ke tempat yang anda berdua pernah pergi. Lain pula jadinya. Saya sendiri selepas setahun baru mampu pergi Ikea sebab tak sanggup mengenangkan tempat pertama pertemuan kami. 

Jadi pergilah melihat dunia lain dari yang biasa anda hadapi ini. Baru kita kan nampak ada banyak lagi kehidupan selain daripada kehidupan yang telah kita lalui. 
  

Doakan lah saya berjaya menangani dugaan ini. Saya tidaklah kuat tetapi saya meminjam dan meng-Amin- kan doa setiap orang yang mendoakan saya agar saya berjaya mengharungi ujian dari Allah ini. 

Semoga Allah menempatkan roh beliau di tempat yang tenang.

Saya cuba melewati hari-hari yang mendatangkan ini dan membina memori yang baru. Setiap kenangan bersama beliau akan saya simpan kemas dalam ingatan dan tiada satu pun penyesalan kerana itulah yang telah ditetapkan buat saya oleh Tuhan Yang Maha Bijaksana.

Ya.. Saya yakin dan beriman bahawa saya akan bahagia. Allah telah tetapkan rezeki untuk saya walaupun itu semua belum jelas kelihatan lagi di waktu sekarang kerana seperti yang saya selalu berpegang:


Jodoh itu rahsia Allah!

Terima kasih kerana sudi membaca. Maaf atas entri yang panjang sebegini. Bersamalah kita meneruskan perjalanan mencari redha Allah.

Wallahua'lam..

- Airmata saya barangkali sudah habis dek tangisan yang berlarutan selama 3 hari.

Comments

  1. Assalamualaikum Cik Farah.

    Saya doakan kamu berjaya bangun dari kedukaan kamu ini. Sebenarnya, saya juga baru kehilangan seorang teman yang meninggal sakit. Luluh dan pedih apabila mengetahui yang dia rupanya turut menyimpan rasa sayang terhadap saya, namun tidak terluah.Sakitnya, hanya Allah yang tahu. Memang penat menangis, tapi kita harus menguatkan diri dengan sentiasa beringat kepada-Nya. Saya mencuba. sama-sama kita mendoakan mereka disana. Amin.

    ReplyDelete
  2. Waalaikumsalam Maya!

    How sweet of you.. :)

    Terima kasih kerana singgah blog saya..

    Saya dah tambah 1 lagi dalam list ini iaitu pergi melancong!

    Bila kita pergi jalan-jalan.. tengok tempat orang, kita akan sedar banyak lagi kemungkinan dalam dunia ni..

    Jadi bergembiralah untuk masa depan yang bakal kita lalui ya?

    Semoga awak akan berjumpa dengan kebahagiaan itu.

    Semoga saya juga.. ;)

    Take care!

    ReplyDelete
  3. Assalamualaikum akak.. terima kasih untuk entry ini.. Insan yang saya sayang yang saya sayang pergi dijemput ilahi pagi semalam. Saya tunggu dia selama ni tanpa pernah buka untuk orang lain tetapi dikejutkan dengan berita kematian mengejut ini dan saya akan terus menunggu dia walaupun sekarang saya sudah ikhlas. entry akak banyak membantu saya. Terima kasih dan doakan semoga saya kuat seperti akak. Al Fatihah untuk arwah :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Waalaikumsalam Mira.

      Insya Allah... Teruskan berdoa supaya awak diberikan kekuatan. Amin.. :)

      Delete

Post a Comment

Anything wandering in your mind? Feel free to write...

Popular posts from this blog

Pengalaman Menjalani Pembedahan Laparoscopy

Panduan diet selepas pembedahan laparoscopy/laparotomy

Pengalaman Excess Baggage dengan MAS Airlines